Sambut Ramadan di perantauan

Sambut Ramadan di perantauan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Sebagai perpaduan pelajar-pelajar Brunei di perantauan, kira-kira 20 orang mahasiswa sarjana muda Tahun 1 hingga 3 bersama tiga orang mahasiswa lepasan ijazah yang sedang mengikuti pengajian sarjana, sarjana muda dan PhD di University of Leicester dan De Monfort University, Leicester, telah mengadakan aktiviti berbuka puasa bersama-sama.

Pada hari pertama berpuasa, mereka telah berbuka puasa bersama-sama di salah sebuah kediaman penuntut Brunei di Welland Street yang menyajikan hidangan yang ditempah dari Oodles Chinese Restaurant.

“Pada 8 Jun, kami mengadakan potluck dan berbuka puasa di kediaman penuntut-penuntut Brunei di Welland Street. Selepas selesai berbuka puasa kami menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah,” jelas Dayang Hayati binti Mohamad, yang merupakan salah seorang penuntut di University of Leicester.

Dayang Hayati juga mengongsikan pengalamannya berpuasa di sana yang mengambil masa 19 jam, iaitu dari jam 2:40 pagi hingga 9:30 malam.

“Disebabkan oleh waktu malam yang pendek, kami biasanya berjaga untuk sahur selepas selesai menunaikan solat Tarawih yang biasanya selesai dalam pukul 12 tengah malam,” jelasnya.

Mahasiswa/siswi University of Leicester dan De Monfort University, Leicester, pada majlis berbuka puasa bersama-sama.
Mahasiswa/siswi University of Leicester dan De Monfort University, Leicester, pada majlis berbuka puasa bersama-sama.
Mereka tidak ketinggalan mengerjakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Mereka tidak ketinggalan mengerjakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Sebahagian daripada mahasiswi yang berada di Leicester bergambar ramai.
Sebahagian daripada mahasiswi yang berada di Leicester bergambar ramai.

Katanya lagi, Leicester mempunyai ramai penduduk beragama Islam, dan kadang-kadang mereka dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya menerima jemputan berbuka puasa daripada komuniti Malaysia dan Turkish yang menuntut di sini. Aktiviti seperti ini sangat bagus kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan membolehkan kami untuk saling mengenali negara dan budaya masing-masing,” ujar beliau lagi.

Aktiviti mereka tidak terhenti di situ, hampir setiap hari para pelajar di perantauan ini berbuka puasa bersama-sama, yang antaranya di restoran Karamay dan jemputan berbuka puasa di rumah pelajar lepas ijazah, Dayang Nor Azian binti Haji Hafneh yang membuat PhD di University of Leicester yang juga mengadakan solat fardu Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Acara-acara seumpamanya ini diadakan dengan kerjasama Bruleics Society di Leicester.

ARTIKEL YANG SAMA