Sambutan 50 Tahun Penerbitan Majalah Bahana

Sambutan 50 Tahun Penerbitan Majalah Bahana

Penyerahan replika kad Easi daripada wakil DST kepada tetamu kehormat.
Penyerahan replika kad Easi daripada wakil DST kepada tetamu kehormat.

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini, meraikan Sambutan 50 Tahun Penerbitan Majalah Bahana pada majlis yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Semasa berucap pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin antara lain menyatakan bahawa Majalah Bahana merupakan wadah hati nurani penulis-penulis tanah air, tempat dan ruang mereka mencetuskan idea fikir melalui penulisan kreatif dan bukan kreatif.

Idea fikir penulis, ujarnya, dijalin indah dengan sulaman aksara dan manik-manik ilmu yang akhirnya mencorak sebuah gugusan fikir untuk khalayak pembacanya berfikir dan berguru ilmu.

Yang Berhormat Pehin turut menekankan, walaupun zaman kemajuan teknologi semakin berkembang dan banyak mengungkayahkan e-majalah di laman sesawang namun beliau berbangga dan bersyukur kerana Majalah Bahana tetap dan mampu ampuh bertahan dari rempuhan media baharu malah semakin diminati di rantau Nusantara.

“Sesungguhnya Majalah Bahana adalah manifestasi daripada sebuah kreativiti budaya dan pemikiran warga bangsa yang akan kitani terus perkasakan dan dewasakan,” tambahnya.

Majlis sambutan 50 Tahun Penerbitan Majalah Bahana itu diungkayahkan antara lain mempertemukan dan menghimpunkan mantan-mantan pengarah, timbalan pengarah, editor-editor, tokoh sasterawan, penulis, penggiat sastera dan penggiat seni sastera tanah air.

Selain itu, ia juga untuk mengangkat dan memperkenalkan karya-karya yang dihasilkan oleh para penyumbang Bahana dan sebagai penghargaan serta penghormatan kepada para penggerak Majalah Bahana yang berusaha meningkatkan dan memantapkan kualiti penulisan dalam majalah.

Terdahulu, acara telah dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa kesyukuran, disusuli dengan tayangan slot video ‘50 Tahun Bahana’, pelancaran Edisi Khas Majalah Bahana keluaran Jun 2016 dan penyerahan replika Kad Easi.

Majlis sambutan juga di-selajurkan dengan penyampaian hadiah penghargaan yang diberikan kepada mantan-mantan editor Majalah Bahana dari tahun 1966 hingga 2016 yang telah banyak menyumbang bakti kepada penerbitan majalah tersebut.

Diikuti dengan penyampaian hadiah Peraduan Menulis Rencana Umum Beriga 2015, tiada pemenang bagi hadiah penghormatan pertama manakala hadiah penghormatan kedua dimenangi oleh Dayang Rosmahwati binti Haji Buntar dengan membawa pulang wang tunai $1,500 dan sijil dengan tajuk tulisannya ‘Hak Wanita Selepas Pembubaran’.

Hadiah penghormatan ketiga pula dimenangi oleh Shaikh Mahmud bin Shaikh Haji Ibrahim dengan tajuk tulisannya ‘Ekonomi Negara Ke Arah Wawasan 2035 – Cabaran Globalisasi’ dengan membawa balik wang tunai $1,000 dan sijil.

Di samping itu, lima lagi turut menerima hadiah sagu hati iaitu Hajah Dayang Zainon binti Haji Mohd Tahir, Dayang Najmu Hayati binti Awang Hidop, Dayang Qairunnisa binti Haji Jalil, Dayang Norputarawaty @ Nena Ellisya binti Aslan dan Dayang Siti Norhazirah binti Haji Ahmad, dengan masing-masing membawa balik wang tunai $700 dan sijil.

Peraduan Menulis Rencana Umum yang diadakan dua tahun sekali ini antara lain bertujuan untuk mendukung hasrat negara untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui hasil penulisan, mengetengahkan jurnal Beriga kepada para ilmuwan dan khalayak umum serta mengembangkan bakat penulis dalam bidang penulisan rencana umum.

Penyampaian hadiah penghargaan dan hadiah peraduan Menulis Rencana Umum Beriga 2015 telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

 

ARTIKEL YANG SAMA