Sambutan Aidilfitri eratkan warga sekolah

Sambutan Aidilfitri eratkan warga sekolah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 29 Julai – Sebagai usaha untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara guru-guru dan pelajar-pelajar serta kakitangan sekolah dan ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri

(SM PAP) Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, hari ini, telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Majlis tersebut turut diselajurkan dengan Majlis Perpisahan Mantan Pengetua sekolah berkenaan, Hajah Murni binti Abdullah, yang juga hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Pengetua SM PAP Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Dayang Halizawati binti Haji Kepli semasa berucap di majlis itu menyatakan, antara lain tujuan majlis itu juga adalah untuk merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih atas khidmat jasa bakti Hajah Murni.

Selama sepuluh tahun daripada 2010 hingga 2014, bermula sebagai guru, kemudian guru kanan, seterusnya timbalan pengetua dan pengetua, kini beliau bertugas sebagai pengetua di Sekolah Menengah Sayyidina Ali Kuala Belait.

Gambar kenangan bersama Mantan Pengetua, Hajah Murni (tiga dari kanan) semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah, Lumut.
Gambar kenangan bersama Mantan Pengetua, Hajah Murni (tiga dari kanan) semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah, Lumut.
Guru-guru Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah Lumut, merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Guru-guru Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Saadatul Bolkiah Lumut, merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Jasa dan khidmat bakti yang telah beliau curahkan kepada sekolah ini tidak akan dapat dilupakan oleh semua warga sekolah, dan kami semua mendoakan semoga Allah Subhanahu Taala akan melimpahkan rahmat dan memeliharakan beliau, serta dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Dayang Halizawati juga berkata, Majlis Sambutan Hari Raya adalah antara aktiviti tahunan sekolah itu, yang mana dengan mengadakan majlis seperti itu akan membukakan peluang warga sekolah meraikan beramai-ramai sambutan sambil bermaaf-maafan dan membantu mengeratkan lagi ikatan silaturahim di antara mereka.

Berbagai-bagai persembahan menarik telah menambah ceriakan lagi suasana majlis antaranya persembahan nyanyian daripada para pelajar dan guru-guru, persembahan syair Aidilfitri, dan acara bersalam-salaman tanda bermaaf-maafan.

ARTIKEL YANG SAMA