Sambutan Aidilfitri masih dirasakan

Sambutan Aidilfitri masih dirasakan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 7 Ogos – Walaupun bulan Syawal telah berlalu, kanak-kanak berkeperluan khas terus diceriakan dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan hari ini, Syarikat CIC Environment Services Sdn Bhd turut mengadakan majlis seumpamanya bagi meraikan kanak-kanak berkeperluan khas di Daerah Belait.

Kira-kira 300 orang dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas antaranya daripada kalangan pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan KACA dan SMARTER cawangan Belait bersama ahli keluarga mereka telah menghadiri majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini.

Acara kemuncak bagi majlis tersebut ialah penyampaian sumbangan dana yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman bagi mewakili Pusat Keperluan Khas.

Sumbangan dana tersebut telah diterima oleh wakil Persatuan KACA, Haji Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman dan Pengurus Pusat Ehsan cawangan Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.

Penyampaian paket hijau oleh Dato Paduka Haji Abd Razak dan Datin Hajah Gayah Kamariah sambil disaksikan tetamu kehormat majlis.
Penyampaian paket hijau oleh Dato Paduka Haji Abd Razak dan Datin Hajah Gayah Kamariah sambil disaksikan tetamu kehormat majlis.

Majlis turut menyaksikan penyampaian paket hijau kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang telah disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Syarikat CIC, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhammad dan Datin Hajah Gayah Kamariah binti Haji Shafiee.

Di samping menikmati hidangan yang disediakan, majlis yang turut dihadiri oleh kakitangan dan keluarga Syarikat CIC itu dimeriahkan dengan persembahan-persembahan nyanyian dan tarian dari kanak-kanak berkeperluan khas, serta pondok gambar yang turut disediakan oleh pihak penganjur.

 

ARTIKEL YANG SAMA