Sambutan Aidilfitri, Tahlil dan Doa Arwah

Sambutan Aidilfitri, Tahlil dan Doa Arwah

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Kelainan sambutan Hari Raya keluarga Allahyarham Haji Mokti bin Pata (HMP) dan Hajah Bungsu binti Gapor yang disertai dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah perlu dicontohi oleh masyarakat kita.

Ia adalah sebagai tanda untuk kita saling memperingati ahli keluarga yang sudah tiada walaupun pada saat kita bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Tahun ini bagi meneruskan tradisi keluarga berkenaan, sambutan Hari Raya berserta Tahlil dan Doa Arwah telah diadakan di kediaman Haji Abdullah bin Haji Metali, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, baru-baru ini.

Majlis yang kali kedua diadakan itu telah dimulakan dengan ucapan daripada Awang Mohammad Isa bin Haji Marsidi selaku pengerusi majlis.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua kaum keluarga yang hadir atas sumbangan-sumbangan yang dihulurkan sama ada dari segi kewangan, makanan, minuman dan hadiah bagi cabutan bertuah dan sebagainya.

Keluarga Allahyarham Haji Mokti berkumpul untuk meraikan Sambutan Hari Raya yang diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.
Keluarga Allahyarham Haji Mokti berkumpul untuk meraikan Sambutan Hari Raya yang diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.

Katanya lagi, sambutan itu akan terus diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di kediaman antara keempat-empat anak Allahyarham iaitu Haji Bolhan, Haji Marsidi, Hajah Masniah dan Hajah Masni.

Ia adalah bagi memperingati tarikh kembalinya Allahyarham yang jatuhnya pada bulan Syawal dan turut menekankan agar majlis itu diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah, ujarnya lagi.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah secara beramai-ramai yang diketuai oleh Haji Abdullah.

Sambutan kemudian diserikan lagi dengan penyerahan cenderahati, cabutan bertuah dan sesi bergambar ramai, yang ditutup dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mohammad Isa bin Haji Marsidi.

ARTIKEL YANG SAMA