Sambutan Awal Tahun Hijrah Cawangan Operasi ‘A’

Sambutan Awal Tahun Hijrah Cawangan Operasi ‘A’

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Cawangan Operasi ‘A’ melalui Ibu Pejabat Pentadbiran Cawangan Operasi ‘A’ dan Balai Bomba Mentiri turut menyemarakkan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 dengan mengadakan Ceramah Hijrah yang berlangsung di Surau Balai Bomba Mentiri, kelmarin.

Majlis berkenaan dihadiri oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘A’, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Awang Mohd Yudieswandy bin Bakar.

Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘A’, Penguasa Bomba dan Penyelamat Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop; stesen-stesen komander, para pegawai, anggota serta kakitangan balai-balai di bawah cawangan berkenaan iaitu dari Balai Bomba Mentiri, Balai Bomba Beribi, Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Balai Bomba Muara.

Semasa sesi Ceramah Hijrah dijalankan di Surau Balai Bomba Mentiri, kelmarin.
Semasa sesi Ceramah Hijrah dijalankan di Surau Balai Bomba Mentiri, kelmarin.

Pada majlis itu, ceramah khas bertajuk ‘Ma\ʼal Hijrah’ telah disampaikan oleh penceramah undangan, Awang Hilman bin Haji Salim yang merupakan graduan Sarjana Falsafah Islamiyah, Universiti Kaherah.

Antara lain pengisian ceramah berkenaan adalah mengenai hijrah Nabi Muhammad S.A.W serta mengingatkan para hadirin mengenai kebesaran dan fadilat membaca Al-Quran.

Majlis seumpama ini merupakan salah satu aktiviti tahunan cawangan Operasi ‘A’ dan diharap akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperolehi pengetahuan yang mendalam dalam bidang keagamaan.