Sambutan Awal Tahun Hijrah terus disemarakkan

Sambutan Awal Tahun Hijrah terus disemarakkan

Oleh Hasrulraizan dan Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Kedatangan awal Tahun Hijrah 1437 di negara ini disambut dengan pelbagai aktiviti berkebajikan dan beberapa buah masjid lagi melanjutkan sambutannya dengan kempen kebersihan masjid.

Di Kampung Jangsak, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman telah menyertai Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam kempen kebersihan masjid dengan menanam pokok-pokok bunga dan pohon buah-buahan yang disumbangkan oleh jemaah masjid dan penduduk sekitarnya.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad turut menanam dua pohon pulasan dan sepohon durian belanda sebagai tanda sempena kempen kebersihan sempena Awal Tahun Hijrah 1437.

Di Kampung Batu Marang pula, kempen serupa juga diadakan dengan para jemaah dan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam Masjid Kampung Batu Marang.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad menanam pokok durian belanda di perka-rangan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak. - Faridah Haji Ibrahim
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad menanam pokok durian belanda di perka-rangan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak. – Faridah Haji Ibrahim
Sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam Kempen Kebersihan Masjid Kampung Batu Marang Sempena Awal Tahun Hijrah 1437 kelmarin. - Hasrulraizan
Sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam Kempen Kebersihan Masjid Kampung Batu Marang Sempena Awal Tahun Hijrah 1437 kelmarin. – Hasrulraizan
Warga GARDA BMI yang hadir pada majlis itu dan mendengar ceramah.
Warga GARDA BMI yang hadir pada majlis itu dan mendengar ceramah.
Di antara yang hadir pada majlis anjuran Gabungan Aliansi Rakyat Daerah Buruh Migran (GARDA BMI) baru-baru ini.
Di antara yang hadir pada majlis anjuran Gabungan Aliansi Rakyat Daerah Buruh Migran (GARDA BMI) baru-baru ini.

p04-5_20151020

Acara tersebut yang turut mendapat sambutan menggalakkan termasuk penglibatan daripada kalangan belia dan beliawanis, merupakan kesinambungan Ceramah Khas Hijrah di masjid berkenaan baru-baru ini.

Pegawai Hal Ehwal Masjid merangkap Ketua Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Saiful Rezal bin Haji Abdul Ghafar dalam temu bual bersama Media Permata telah melahirkan rasa syukur dan gembira atas sokongan AJK Takmir Masjid, Muslimah Masjid, jemaah masjid dan penduduk kampung dalam menjayakan kempen itu.

Beliau berharap penyertaan penduduk kampung dalam menjayakan aktiviti anjuran AJK Takmir Masjid Kampung Batu Marang itu dan pada masa hadapan akan berterusan dan bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, kira-kira 200 ahli Gabungan Aliansi Rakyat Daerah Buruh Migran Indonesia (GARDA BMI) yang terdiri daripada warga Indonesia beragama Islam juga tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan majlis sempena awal Tahun Hijrah 1437 di Beribi, Gadong.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan tahlil, doa selamat dan diserikan dengan berdikir serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keselamatan kerajaan Brunei Darussalam dan mendoakan negara Indonesia.

Acara diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan Tausyeh daripada perwakilan Kedutaan Indonesia di Brunei (Achmad Gufron) dan ketua GARDA BMI, Aldi Abdurrohman.

ARTIKEL YANG SAMA