Sambutan gilang-gemilang bermula

Sambutan gilang-gemilang bermula

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Bendera Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah dengan seluruh rakyat dan penduduk negara ini bersedia untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 bermula dengan Upacara Pengibaran Bendera Negara Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berlangsung dalam acara penuh kegemilangan dan kemegahan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di upacara itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Tahun.

Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pihak swasta, para jemputan khas serta orang ramai dan pelancong yang tidak ingin untuk melepaskan peluang menyaksikan upacara berkenaan.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh bagi mendapatkan keberkatan dan kesempurnaan upacara majlis.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyerahkan bendera besar kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyerahkan bendera besar kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei.

Upacara diteruskan dengan perarakan masuk pasukan seramai 70 orang Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara yang diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Majlis kemudian menyaksikan Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei di mana pasukan itu menerima Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7 meter x 7.3 meter yang diserahkan oleh Yang Berhormat Pehin Setia Haji Awang Abu Bakar untuk dinaik kibarkan.

Dalam upacara itu, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan oleh Kumpulan Koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang berukuran 1.8 meter x 1.2 meter dan poster-poster Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Bendera-bendera berkenaan akan digunakan bagi upacara pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam untuk daerah-daerah lain di mana tetamu-tetamu kehormat bagi upacara daerah berkenaan akan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada penghulu-penghulu mukim daerah masing-masing.

Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ketika menaikkan bendera.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ketika menaikkan bendera.

Dengan berkibarnya bendera besar di ibu negara maka bermulalah pengibaran bendera peribadi bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai bermula dari hari ini hingga 31 Julai nanti.

Penaikan dan pengibaran bendera kebangsaan di seluruh negara menjelang dan sepanjang Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam konteks kehidupan bernegara, berbangsa, berkerajaan, dan beraja.

Ke arah itu, semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa dan pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua keluarga dan pemimpin belia supaya akan dapat bersama-sama saling ingat-mengingati bagi memastikan perlaksanaan tanggungjawab setiap rakyat dan penduduk bagi pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam pada tarikh yang telah ditetapkan termasuklah di bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan dan perusahaan serta rumah-rumah kediaman dan persendirian serta di sepanjang jalan-jalan utama yang strategik.

Selaku rakyat dan penduduk negara ini termasuk para belia dan remaja-remaja, menaikkan dan mengibarkan bendera kebangsaan dengan sempurnanya merupakan satu tanggungjawab.

Ia juga satu peluang bagi menzahirkan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu ia juga satu manifestasi semangat patriotisme dan kenegaraan yang tinggi serta sokongan dan penyertaan kepada acara kenegaraan iaitu dalam sama-sama menghayati signifikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA