Sambutan hangat Jerayawara Job Fair

Sambutan hangat Jerayawara Job Fair

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 18 Mei – Buat pertama kali KBSentral Shopping Centre mengadakan Jerayawara Job Fair 2015 di atrium pusat membeli belah tersebut dengan hasrat untuk menyediakan platform bagi para majikan swasta yang ingin mencari pekerja baru khususnya di Daerah Belait.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengurus KBSentral Shopping Centre, Dayang Abby Lim semasa ditemui di acara tersebut hari ini dan beliau mengulas mengenai inisiatif itu kepada Media Permata.

“Kami mempelawa syarikat-syarikat swasta membuka pondok-pondok khas yang disediakan untuk mereka beroperasi di sini kerana kebanyakan Jerayawara Job Fair di sini banyak bertumpu kepada industri minyak dan gas dan kami ingin membuka peluang kepada majikan swasta dari industri-industri yang lain untuk mempromosikan jawatan-jawatan kosong yang sedia ada ketika ini,” kata Dayang Abby.

Menurut beliau, sebanyak 10 buah pondok telah disediakan dan antara syarikat-syarikat yang mengikuti jerayawara tiga hari tersebut adalah dari Syarikat CBTL Coffee Bean Tea Leaf, Syarikat Alpha One Engineering Services Sdn Bhd, Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd dan lain-lain lagi. Dayang Abby juga menambah bahawa mereka juga menyediakan sebuah bilik perjumpaan di antara majikan dan pengunjung-pengunjung yang ingin membuat temu duga “Walk-In”.

Pondok Alpha One menerima ramai pengunjung yang datang menghantar borang memohon pekerjaan.
Pondok Alpha One menerima ramai pengunjung yang datang menghantar borang memohon pekerjaan.
Pondok PKBN antara yang menyertai Jerayawara Job Fair tersebut.
Pondok PKBN antara yang menyertai Jerayawara Job Fair tersebut.

“KBSentral Property Management juga giat menjalankan pengambilan pekerja-pekerja baru dan saya yakin dengan langkah sebegini akan dapat membantu golongan graduan dan yang belum mempunyai sebarang pekerjaan khususnya di Daerah Belait,” jelas Dayang Abby lagi.

Menurut beliau, KBSentral Shopping Centre akan mengadakan pelbagai acara keramaian seperti ini di masa akan datang.

Jerawayay Job Fair anjuran KBSentral Shopping Centre ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Mei ini.

ARTIKEL YANG SAMA