Sambutan Hari AMBD 28 Mei ini

Sambutan Hari AMBD 28 Mei ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan mengadakan Hari AMBD 2015 bermula 28 hingga 30 Mei ini di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Sehubungan itu, sesi taklimat mengenai Hari AMBD 2015 yang dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pengurusan kewangan yang bijak serta membawa tema, Facilitating Your Financial Future diadakan di Kementerian Kewangan, hari ini.

Semasa taklimat itu, AMBD mendedahkan bahawa acara berkenaan menyediakan pelbagai program dan kegiatan yang diharap akan dapat memberi kesan positif terutamanya dalam usaha meningkatkan celik kewangan di kalangan orang ramai.

Di antara program-program yang di rancang untuk dikendalikan semasa Hari AMBD 2015 ialah pelancaran Hari Menabung Kebangsaan dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) di mana ia bertujuan untuk membantu mengingatkan dan memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya pengurusan kewangan yang berhemat termasuk perancangan kewangan, pengurusan hutang dan pengumpulan simpanan.

Logo Sambutan Hari AMBD 2015.
Logo Sambutan Hari AMBD 2015.

Di samping mengetengahkan pameran mengenai dengan peranan dan fungsi AMBD, acara itu dihasratkan menjadi landasan dalam memperkenalkan beberapa inisiatif AMBD seperti pelancaran aplikasi peranti pintar AMBD yang boleh dimuat turun oleh pengguna Android dan Apple.

Para pengunjung juga boleh mendapatkan Laporan Kredit daripada Biro Kredit secara percuma di mana para pengunjung boleh menggunakannya untuk mengetahui tahap kelayakan kredit masing-masing. Manakala itu, satu pameran kewangan yang membawa tema, Journey of Life (Perjalanan Kehidupan) akan diadakan di mana institusi-institusi kewangan iaitu bank-bank dan syarikat-syarikat insurans serta takaful akan turut serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka mengikut tiga jenis peringkat kehidupan iaitu awal kehidupan (early life), waktu bekerja (working life) dan ketika warga emas (golden age).

Bagi menceriakan lagi, Hari AMBD 2015, orang ramai di semu peringkat umur adalah dialu-alukan untuk menyertai pelbagai kegiatan yang disediakan sepanjang acara itu diadakan termasuk menyertai ceramah-ceramah kewangan dan kegiatan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan di mana mereka berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.

Acara itu juga akan disertai oleh beberapa agensi dan institusi kerajaan termasuk Tabung Amanah Pekerja (TAP), Brunei Deposit Protection Cooperation (BDPC), Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) dan Institut Teknologi Brunei (ITB).

Selain daripada mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing, beberapa agensi dan institusi berkenaan juga akan menawarkan peluang pekerjaan dan pelan pengambilan pekerja semasa acara berkenaan diadakan, manakala itu, APTK akan menawarkan kira-kira 100 peluang pekerjaan yang berdaftar dengan APTK.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Hari AMBD 2015, mereka boleh melayari laman sesawang, www.ambd.gov.bn/AMBDDay2015 atau emel info@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA