Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Buau

Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Buau

Oleh Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Jun – Hari Gawai di negara ini turut disambut dengan meriahnya oleh masyarakat Iban di Rumah Panjang Buau, Ulu Labi, di sini, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat Majlis Sambutan Hari Gawai itu ialah Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin Datu Setia Maharaja Dian.

Sambutan dengan tema Rami Ngundang Pengerindu Semua Kitai (Berpesta untuk mengeratkan siratulrahim dalam kalangan semua ahli keluarga) itu turut dihadiri oleh Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhamad Ali bin Hassan dan rombongan penuntut Universiti Brunei Darussalam.

Antara acara yang menyerikan sambutan pada malam itu ialah pertandingan menghias bilik di mana Awang Muhammad Ali telah diberikan penghormatan selaku ketua menghakimkan acara berkenaan.

Acara berkenaan merupakan inisiatif ahli jawatankuasa rumah panjang berkenaan untuk memberikan semangat kepada penghuninya untuk menjaga kecantikan dan kebersihan persekitaran rumah panjang mereka.

Antara yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Buau Ulu Labi.
Antara yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang Buau Ulu Labi.

Turut menyerikan lagi majlis ialah persembahan kebudayaan seperti tarian ngajat dan persembahan kebudayaan masyarakat Iban lainnya dan cabutan nombor bertuah serta jamuan makan dari pintu ke pintu.

Pertandingan menghias ruang tamu telah dimenangi oleh Ruai Bilik No.14 yang dihuni oleh Dayang Innu anak Para, manakala tempat kedua dimenangi oleh Lambong anak Para yang mendiami bilik No.17 dan tempat ketiga dimenangi Libau anak Melina yang mendiami bilik No. 4.

Manakala pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh Belangkit anak Muyau dan Naun anak Muyau.

Rumah Panjang Buau dihuni oleh 20 buah keluarga dan ramai juga penghuninya sudah berhijrah ke kawasan bandar kerana bekerja dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA