Sambutan Hari Guru Sekolah Fairview

Sambutan Hari Guru Sekolah Fairview

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Fairview

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Sekolah Fairview baru-baru ini mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 tahun 2016 bagi meraikan guru-guru di sekolah berkenaan yang berlangsung di premis sekolah itu di Kampung Madang.

Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk menghargai guru-guru atas usaha ikhlas mereka untuk memberikan pengetahuan kepada pelajar selain untuk menggalakkan interaksi di antara guru dan pelajar.

Majlis dibuka dengan murid-murid membuat kunjungan kepada guru besar dan guru-guru kelas masing-masing sebelum perhimpunan ramai yang dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan bacaan doa oleh Awang Muhammad Danish bin Haji Hajizul (murid Tahun 5) serta ucapan alu-aluan Awang Ahmad Nabeel bin Haji Mohd Azaman (ketua pengawas Tahun 6).

Murid-murid sekolah berkenaan bersalaman bersama guru-guru mereka.
Murid-murid sekolah berkenaan bersalaman bersama guru-guru mereka.

Seterusnya, majlis dimeriahkan dengan persembahan-persembahan nyanyian berkumpulan oleh pelajar pra sekolah, persembahan puisi bertajuk ‘My Teacher, My Hero’ oleh Dayang Nur Syifa Adriana binti Mohd Fairul (murid Tahun 1),  persembahan nyanyian berkumpulan oleh murid peringkat rendah bawah dan atas yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’ dan ‘Terima Kasih Cikgu’.

Selain daripada itu, agenda majlis diteruskan dengan persembahan istimewa oleh pelajar-pelajar, kuiz terbuka mengenai guru-guru, ucapan khas Guru Besar Sekolah Fairview, Dayang Samsiniah binti Haji Kepli serta acara memotong kek Hari Guru yang disediakan khas oleh murid-murid sebelum disimpul dengan kempen kebersihan.