Sambutan hari kebangsaan diraikan bersama

Sambutan hari kebangsaan diraikan bersama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei Darussalam turut sama-sama meraikan Hari Kebangsaan Malaysia yang disambut pada setiap 31 Ogos dengan majlis resepsi yang diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar berserta isteri.

Kehadiran tetamu kehormat dan para jemputan ke majlis itu dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.

Dalam ucapan alu-aluannya, Datuk Ghulam Jelani telah menyentuh mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Brunei Darussalam yang menurut beliau, kedua-dua buah negara mempunyai banyak untuk ditawarkan antara satu sama lain khususnya yang berkaitan dengan sektor-sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan serta dalam pendidikan, pelancongan dan keselamatan.

“Memang diakui, kedua-dua buah negara setakat ini telah mengambil langkah besar dalam menyatukan hubungan dua hala dan kerjasama bagi faedah bersama kedua-dua negara, rakyatnya dan rantau ini secara keseluruhannya.”

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin bersama Datuk Ghulam Jelani memotong kek sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-59.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin bersama Datuk Ghulam Jelani memotong kek sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-59.
Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut.
Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut.

Beliau menambah bahawa hubungan dua hala kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat telah terus berkembang kukuh, dimanifestasikan dengan penandatanganan EOL mengenai pelbagai isu dua hala dan Perundingan Pemimpin-Pemimpin Tahunan (ALC) yang diadakan bergilir-gilir di Bandar Seri Begawan dan Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan harapan agar kedua-dua buah negara dapat mengembangkan lagi serta meningkatkan kerjasama yang sedia ada dalam bidang lain seperti pelaburan, pendidikan, budaya dan juga pelancongan untuk kepentingan bersama

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara sebelum bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sempena Hari Kemerdekaan Malaysia.

Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia memotong kek sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-59.

ARTIKEL YANG SAMA