Sambutan Hari Kebangsaan penuh warna-warni

Sambutan Hari Kebangsaan penuh warna-warni

NEW DELHI, 4 Sept (Bernama) – Warga Malaysia hadir berpakaian tradisional menyertai hampir 350 rakan senegara dan tetamu jemputan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di ibu negara India di sini, petang semalam.

Sebahagiannya datang dari negeri seperti Haryana dan Rajasthan.

Kebanyakan lelaki memakai pakaian tradisional Melayu lengkap bersampin manakala golongan wanita, memakai baju kurung menambahkan lagi seri dalam majlis itu.

Majlis anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India Datuk Naimun Ashakli Mohammad itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan India, diikuti lagu ‘Negaraku’.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan India Dr Mahesh Sharma yang mewakili kerajaan India.

Selain rakyat Malaysia, diplomat dari negara ASEAN dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang terkemuka turut menghadiri sambutan tahunan itu.

Naimun Ashakli berkata walaupun tidak ramai warga Malaysia menetap atau bekerja di New Delhi, tetapi kebanyakannya hadir untuk sambutan itu walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

“Saya gembira dengan beberapa rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan dari negeri jiran seperti Haryana dan Rajasthan untuk menyertai sambutan ini dan berjumpa dengan warga Malaysia,” katanya.

Seorang warga Malaysia, James Yeoh yang menetap hampir 12 tahun di Gurgaon, Haryana, iaitu kira-kira sejam perjalanan dari ibu negara di sini, berkata beliau gembira dapat bertemu ‘muka-muka baharu’ di New Delhi.

“Saya sentiasa teruja untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan kerana inilah satu-satunya peluang untuk kami berjumpa ramai warga Malaysia di bawah satu bumbung,” kata Yeoh yang diiringi isterinya.

ARTIKEL YANG SAMA