Sambutan Hari Keluarga di McD esok

Sambutan Hari Keluarga di McD esok

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Makan Ceria Sdn Bhd selaku pengendali restoran makanan segera McDonald’s Brunei akan mengadakan sambutan Hari Keluarga pada 26 Julai ini bermula 7 pagi sehingga 4 petang.

Acara akan dimulakan dengan aktiviti Zumba dengan kerjasama Fit N Fine Fitness Studio pada 7 pagi sehingga 8 pagi yang dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak yang ingin ikut serta.

Kemudian, bermula 9 pagi sehingga 3 petang akan diadakan aktiviti inai dan melukis muka, yang mana para pelanggan boleh membuat tebusan dengan menunjukkan resit pembelian mereka.

Di samping itu, sesi bergambar di pondok foto turut diadakan bermula 12 tengah hari sehingga 4 petang.

Bagi memeriahkan lagi sambutan itu, McDonald’s Brunei turut menjemput pasukan bola jaring kebangsaan Royal Bees yang telah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Tenggara ke-28 di Singapura, baru-baru ini.

Para penyokong dan peminat bolehlah meluangkan masa mereka bersama ahli-ahli Royal Bees bermula jam 2 petang sehingga 4 petang.

Acara tahunan ini bertujuan untuk memupuk kepentingan meluangkan masa bersama ahli keluarga yang tersayang di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim melalui aktiviti-aktiviti yang menarik semasa sambutan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA