Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia

Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Warganegara Indonesia yang bertugas dan menetap di Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia dalam Upacara Menaikkan Bendera Negara dan Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-71.

Upacara yang diadakan dengan penuh bersemangat itu berlangsung di Kedutaan Republik Indonesia di Kampung Kawasan Lingkungan Diplomatik, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan dan bersama-sama meraikan sambutan berkenaan ialah Duta Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Nurul Qomar yang menyatakan bahawa sejak mencapai kemerdekaan, Republik Indonesia terus mencapai pelbagai kejayaan dan pembangunan negara.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menyentuh mengenai hubungan antara Indonesia dan Brunei Darussalam yang sudah terjalin sejak 32 tahun lalu terus berkembang dan diperkukuhkan dalam pelbagai aspek.

“Eratnya kerjasama ini dilihat daripada kunjungan semua peringkat, baik pemimpin dan juga pihak swasta”.

Upacara menaikkan bendera negara Republik Indonesia.
Upacara menaikkan bendera negara Republik Indonesia.
Duta Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapannya pada upacara tersebut.
Duta Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapannya pada upacara tersebut.

Beliau seterusnya berkata, masih terdapat pelbagai peluang kerjasama di pelbagai bidang yang dapat terus dikembangkan untuk kepentingan kedua-dua buah negara.

Katanya, dalam kerjasama dalam bidang tenaga kerja, Indonesia masih dalam proses perbincangan dengan Brunei Darussalam untuk membentuk memorandum persefahaman di bidang ini.

Sehubungan itu, beliau turut menghargai peranan Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) dan komuniti lain dalam membantu menanamkan kesedaran akan pentingnya mematuhi peraturan, baik yang berlaku di Indonesia atau di Brunei Darussalam.

“Usaha tersebut juga telah menunjukkan hasil positif di mana penurunan jumlah masyarakat Indonesia yang melakukan kesalahan di negara ini,” tambahnya.

Menurutnya lagi, sempena dengan sambutan kemerdekaan ke-71 ini, Kedutaan Besar Republik Indonesia di negara ini akan menjalankan promosi pameran produk dan seminar yang bertema maritim dalam masa terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA