Sambutan Hari Keputeraan ke-71 bermula

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Bendera Besar Negara Brunei Darussalam mula berkibar megah, kelmarin, dengan seluruh rakyat dan penduduk negara ini bersedia untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun.

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu berlangsung dalam acara penuh gilang-gemilang di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan yang ke-71 tahun ini.

Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pihak swasta, para jemputan khas dan orang ramai serta pelancong yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan upacara berkenaan.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang bagi mendapatkan keberkatan dan kesempurnaan upacara majlis.

Yang Amat Mulia menyerahkan bendera-bendera negara kepada pegawai-pegawai daerah.
Yang Amat Mulia menyerahkan bendera-bendera negara kepada pegawai-pegawai daerah.
Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara menyerahkan bendera besar negara kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei untuk dinaik-kibarkan.
Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara menyerahkan bendera besar negara kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei untuk dinaik-kibarkan.

Upacara diteruskan dengan perarakan masuk pasukan seramai 71 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara yang diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Majlis kemudian menyaksikan Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, di mana pasukan itu menerima Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7 meter x 7.3 meter yang diserahkan oleh YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz untuk upacara pengibaran bendera Negara.

Dalam upacara itu, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan oleh kumpulan koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kumpulan Koir Gema Suara Merdeka dari Mukim Sengkurong dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam yang berukuran 1.8 meter x 1.2 meter dan poster-poster Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71 tahun kepada pegawai-pegawai daerah.

Bendera-bendera berkenaan akan digunakan bagi upacara pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam untuk daerah masing-masing di mana tetamu-tetamu kehormat bagi upacara daerah berkenaan akan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepadapara penghulu mukim di daerah masing-masing.

Dengan berkibarnya bendera besar negara itu menandakan bermulalah pengibaran bendera peribadi bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai bermula 1 Julai 2017 hingga 31 Julai nanti.

Upacara menaikkan bendera besar negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-71 tahun.
Upacara menaikkan bendera besar negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-71 tahun.
Kumpulan koir mengiringi upacara menaikkan bendera besar negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71.
Kumpulan koir mengiringi upacara menaikkan bendera besar negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71.

Penaikan dan pengibaran bendera kebangsaan di seluruh negara menjelang dan sepanjang Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-71 tahun diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam konteks kehidupan bernegara, berbangsa, berkerajaan, dan beraja.

Ke arah itu, semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa dan pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua keluarga dan pemimpin belia supaya akan dapat bersama-sama saling ingat-mengingati bagi memastikan perlaksanaan tanggungjawab setiap rakyat dan penduduk bagi pengibaran bendera Negara Brunei Darussalam pada tarikh yang telah ditetapkan.

Ini termasuk di bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan dan perusahaan serta rumah-rumah kediaman dan persendirian serta di sepanjang jalan-jalan utama yang strategik.

Selaku rakyat dan penduduk negara ini termasuk para belia dan remaja-remaja, menaikkan dan mengibarkan bendera kebangsaan dengan sempurnanya merupakan satu tanggungjawab.

Ia juga satu peluang bagi menzahirkan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, ia juga satu manifestasi semangat patriotisme dan kenegaraan yang tinggi serta sokongan dan penyertaan kepada acara kenegaraan iaitu dalam sama-sama menghayati signifikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia setiap tahun.