Sambutan Hari Keputeraan tarik pengunjung luar

Sambutan Hari Keputeraan tarik pengunjung luar

Oleh Pg Fairol RMF, Yusrin Junaidi & Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 memang sudah terkenal, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara, sehinggakan menarik ramai pengunjung luar untuk menyaksikannya sendiri di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Tinjauan Media Permata mendapati ramai pelancong yang begitu teruja menyaksikan keramaian menyambut raja yang disayangi, sekali gus menunjukkan perpaduan rakyatnya bersatu tenaga memeriahkan acara sambutan negara.

Dalam kesempatan itu, wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual empat orang pelancong dari China yang berkata mereka datang ke negara ini semata-mata untuk mengambil kesempatan menyaksikan keramaian Hari Keputeraan pagi tadi.

Salah seorang pelancong itu, Sing Ling Lan yang juga seorang guru memberitahu, mereka sampai ke negara ini semalam dan menginap di negara ini selama tiga hari.

Menurutnya, beliau memang mengetahui Brunei Darussalam dan hari-hari sambutannya hasil daripada penyelidikan beliau selama ini.

Justin Jeffrey dan Jaana Wissenz sama-sama meraikan Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan.
Justin Jeffrey dan Jaana Wissenz sama-sama meraikan Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan.

Beliau bersama rakan bercadang untuk turun ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi menyaksikan lebih dekat Baginda Sultan, ahli kerabat diraja yang lain dan sambutan itu sendiri.

Katanya lagi, beliau akan mengambil peluang untuk melawat Kampong Ayer dan muzium sebelum berlepas ke Sabah, Malaysia untuk dijadikan kenangan semasa berada di negara yang penuh harmoni ini.

Manakala, Mikko dari negara Finland yang sedang bercuti ke negara ini dan diiringi oleh warga tempatan, berkata bahawa beliau ingin meneroka negara Islam ini yang sudah terkenal di seluruh dunia dengan lebih dalam lagi.

“Saya berpeluang menikmati makanan tempatan semasa jemputan rumah terbuka yang dihoskan oleh rakan saya. Selain beramah mesra, saya juga dapat mempelajari budaya Brunei serta bertemu dengan ahli keluarga rakan saya yang sudi membantu saya semasa berada di Brunei,” kata Mikko.

Bagi Jaana Wissenz dan Justin Jeffrey dari United Kingdom yang bertugas sebagai guru di negara ini sejak empat tahun lalu, walaupun sudah dua kali menyaksikan upacara berkenaan, mereka tetap turun lagi untuk melihat keindahan suasana Brunei Darussalam terutama semasa hari-hari keramaian.

“Kami suka Brunei Darussalam. Sebab itu kami memegang bendera Brunei menandakan sokongan kami terhadap negara ini dan ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari Keputeraan kepada Baginda Sultan ke-70 tahun,” kata Wissenz yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Mentiri bersama Justin Jeffrey.

Kwok Weng Lan ketika berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Kwok Weng Lan ketika berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Kwok Weng Lan dari Hong Kong pula mengambil kesempatan ketika mengikuti kursus selama sebulan di bawah satu program Universiti Brunei Darussalam (UBD), untuk menghadiri sambutan berkenaan.

“Saya hanya melihat Baginda Sultan melalui kaca televisyen dan berita-berita luar negara. Tapi sekarang inilah peluang besar untuk bertemu Baginda Sultan secara lebih dekat.

“Hari Kebangsaan dan Sultan adalah sebutan yang sering saya dengar semasa di negara ini. Inilah peluang saya untuk melihat Baginda Sultan,” kata Weng Lan.

Law Choen Rei dari Malaysia yang bertugas di salah sebuah syarikat di negara ini selama lima bulan, mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan persembahan sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan bermula malam ini.

“Ini kali kedua saya berada di padang ini. Apa yang saya lihat hari ini, semua rakyat membanjiri Bandar Seri Begawan,” katanya sambil tersenyum kepada media.

“Saya terkejut melihat begitu ramai orang berada di sini sejak awal lagi. Apa yang penting saya menikmati kemeriahan Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang dijayakan oleh rakyatnya sendiri,” tambah beliau lagi.

Media Permata juga sempat menemu bual Sichul Kim dari Korea Selatan, yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat besar di negara ini selama tiga tahun dan hari tidak melepaskan peluang untuk menghadiri Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun.

Menurutnya, banyak perbezaan antara Brunei dan Korea dari segi adat dan budaya apabila melihat pengibaran bendera dan persembahan hadrah semasa keberangkatan Baginda Sultan memasuki padang.

Katanya lagi, beliau begitu terpesona dengan adat dan budaya masyarakat negara ini yang bersalaman antara satu sama lain dalam majlis atau sambutan besar seperti ini.

“Saya berharap Baginda Sultan akan sentiasa sihat dan memerintah Negara Brunei Darussalam lebih lama lagi,” ujar Kim lagi.

ARTIKEL YANG SAMA