Sambutan Hari Malaysia perlu bergilir

Sambutan Hari Malaysia perlu bergilir

BELURAN, 16 Sept – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee mencadangkan agar tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia diadakan bergilir-gilir dengan negeri lain dan tidak terhad kepada Sabah dan Sarawak seperti kebiasaan.

Anggota Parlimen Beluran itu berkata ini akan mengukuhkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sambutan Hari Malaysia penting untuk dihayati oleh semua rakyat Malaysia bagi meningkatkan semangat patriotisme kepada negara,” katanya pada sambutan Hari Malaysia peringkat daerah Beluran di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Beluran Suhaili Riman, Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham dan Ketua Pemuda UMNO Beluran Samad Jambri.

Ronald berkata desakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak terhadap perkara-perkara yang tersirat dan tersurat dalam Perjanjian Malaysia pada 1963 harus ditangani bersama oleh semua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memegang Jalur Gemilang yang diterimanya daripada anggota polis yang membuat persembahan pada sambutan Hari Malaysia peringkat daerah Beluran kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memegang Jalur Gemilang yang diterimanya daripada anggota polis yang membuat persembahan pada sambutan Hari Malaysia peringkat daerah Beluran kelmarin. – Bernama

Ini kerana, katanya perjanjian itu merupakan asas penting dalam pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar subjek Perjanjian Malaysia dihayati oleh pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Katanya Malaysia akan terus kukuh dan maju jika semangat cintakan negara terus disemai dalam kalangan rakyat Malaysia. – Bernama