Sambutan Hari Maritim Sedunia

Sambutan Hari Maritim Sedunia

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Fizah HAB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Jabatan Laut dengan kerjasama Jabatan Pelabuhan-pelabuhan, hari ini, telah meraikan Hari Maritim Sedunia 2016 pada majlis sambutan yang diselajurkan dengan Perasmian Tambahan Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Pelabuhan-pelabuhan yang berlangsung di ibu pejabat berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat yang turut menyempurnakan perasmian tambahan bangunan berkenaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, para pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan di Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para jemputan khas bagi sama-sama meraikan acara tersebut.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya telah menekankan mengenai peranan dan sumbangan industri perkapalan kepada perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika disingkap tirai sejarah, perkapalan merupakan pengangkutan pertama yang menghubungkan kita dengan dunia luar,” terang beliau.

Menteri Perhubungan ketika merasmikan Tambahan Bangunan Jabatan Pelabuhan-pelabuhan.
Menteri Perhubungan ketika merasmikan Tambahan Bangunan Jabatan Pelabuhan-pelabuhan.
Menteri Perhubungan menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada pemilik-pemilik kapal pendaftaran Negara Brunei Darussalam.
Menteri Perhubungan menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada pemilik-pemilik kapal pendaftaran Negara Brunei Darussalam.

“Mengikut data yang direkodkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), jumlah import Negara Brunei Darussalam bagi bulan September 2016 adalah sebanyak $265.3 juta. Hampir 90 peratus daripada barangan ini adalah didatangkan dengan menggunakan kapal laut. Begitu juga halnya dengan eksport negara, khususnya minyak dan gas, yang juga bersandar kepada perkapalan laut,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa ketika ini, Kementerian Perhubungan sedang giat mengungkayahkan penubuhan Autoriti Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam yang menurutnya akan meningkatkan keupayaan negara dalam mematuhi piawaian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan pertumbuhan industri perkapalan dan logistik di negara ini, terutama melalui perancangan-perancangan jangka panjang.

Majlis Sambutan Hari Maritim Sedunia 2016 berkenaan telah diisi dengan tayangan video klip sambutan, penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada pemilik-pemilik kapal pendaftaran Negara Brunei Darussalam atas perkhidmatan yang selaras dengan kehendak-kehendak IMO.

Kemudian, tetamu kehormat dan para jemputan lain beredar ke Jeti Jabatan Laut untuk menaiki kapal bagi menyusuri Sungai Brunei yang berakhir di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

Ini adalah untuk memperlihatkan dengan lebih dekat lagi perkembangan dan projek-projek yang berkait rapat dengan Industri Maritim Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Hari Maritim Sedunia merupakan acara tahunan yang bertujuan bagi memberikan perhatian kepada kepentingan keselamatan maritim, keselamatan perkapalan dan persekitaran maritim yang sihat seperti yang dinyatakan oleh IMO.

Tema sambutan pada tahun ini, ‘Shipping: Indispensable to the World’ lebih menumpukan kepada peranan perkapalan sebagai penghubung melalui pengangkutan antarabangsa. Ia juga menyampaikan mesej bahawa masyarakat global bergantung kepada perkapalan sebagai penghubung, justeru memainkan peranan yang begitu penting dalam pembangunan di era globalisasi.

Kenyataan itu menjelaskan lagi, sejak 50 tahun yang lalu, IMO telah menghasilkan dan mengguna pakai rangka kerja yang komprehensif merangkumi peraturan-peraturan antarabangsa mengenai keselamatan maritim, perlindungan alam sekitar maritim, perundangan dan kesejahteraan anak-anak kapal.

Dengan adanya peraturan-peraturan antarabangsa ini, perkapalan dan pengangkutan laut menjadi semakin selamat, lebih cekap dan lebih mesra alam dan dikawal oleh piawaian yang serata dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.