Sambutan Hari Muzium & Arkib Antarabangsa

Sambutan Hari Muzium & Arkib Antarabangsa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Pencapaian selama 50 tahun yang dilalui oleh Jabatan Muzium-Muzium untuk mengharungi zaman adalah suatu perjuangan dan perkongsian yang perlu dihargai bersama oleh warga jabatan dan juga masyarakat Brunei.

Pada masa yang sama, mereka iaitu warga jabatan dan masyarakat perlu bersatu dalam menanam, membentuk dan melaksanakan tanggungjawab bagi memelihara, membangun dan mengembangkan warisan bangsa ke arah peringkat yang lebih berkebajikan dan berdaya tahan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Muzium-Muzium, Awang Pudarno bin Binchin dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Sambutan Hari Muzium dan Hari Arkib Antarabangsa 2015 Sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan Jabatan Muzium-Muzium yang berlangsung di Atrium, Airport Mall, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Berangkat hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali, Kurator Ilmu Kejadian, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus, Pegawai Tugas-Tugas Khas.

YAM Pengiran Muda Omar Ali memberikan penerangan mengenai Taman Warisan Tasek Merimbun kepada Datin Hajah Adina.
YAM Pengiran Muda Omar Ali memberikan penerangan mengenai Taman Warisan Tasek Merimbun kepada Datin Hajah Adina.

pg05_150605_e

Datin Hajah Adina, YAM Pengiran Muda Omar Ali dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bergambar ramai dengan ketua-ketua bahagian Jabatan Muzium-Muzium.
Datin Hajah Adina, YAM Pengiran Muda Omar Ali dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bergambar ramai dengan ketua-ketua bahagian Jabatan Muzium-Muzium.

pg05_150605_c

Datin Hajah Adina menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Pengurus Besar Syarikat Brunei Press Sdn.Bhd, Reggie See, wakil penyumbang kegiatan Jabatan Muzium-Muzium.
Datin Hajah Adina menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Pengurus Besar Syarikat Brunei Press Sdn.Bhd, Reggie See, wakil penyumbang kegiatan Jabatan Muzium-Muzium.
Awang Pudarno menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Awang Pudarno menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.

Majlis turut dihadiri para pegawai kanan, ahli-ahli Lembaga Muzium, ahli-ahli Lembaga Penasihat Arkib, para pengarah, pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para jemputan khas.

Awang Pudarno berkata lagi bahawa usaha yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan tema Sambutan Hari Muzium dan Hari Arkib Antarabangsa 2015 iaitu ‘Muzium dan Arkib untuk masyarakat yang berdaya tahan’.

Mengulas lanjut mengenai perubahan yang dilaksanakan dalam acara sambutan berkenaan, Awang Pudarno mendedahkan salah satu perubahan yang diperkenalkan ialah penilaian semula ke atas skim Anugerah Pekerja Contoh yang ditiadakan bagi 2015 dan digantikan dengan Anugerah Projek Terbaik.

“Dengan Anugerah Projek Terbaik tersebut individu ataupun kumpulan pasukan kerja akan dinilai berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan pada tahun berkenaan sahaja bersandarkan kriteria-kriteria yang akan ditentukan oleh sebuah panel penilai yang akan dilantik.”

Beliau menjelaskan lanjut bahawa perubahan itu bererti seseorang individu atau pasukan kerja akan dinilai berdasarkan kualiti projek yang telah diselesaikan atau berjaya dilaksanakan pada tahun berkenaan iaitu satu penilaian yang berdasarkan kepada penilaian prestasi.

“Melalui kaedah ini, prestasi individu ataupun kumpulan pasukan kerja yang dinilai akan mendapat pengiktirafan secara langsung dan terkini berbanding dengan kaedah pengiktirafan yang digunakan terhadap pemilihan ke atas pekerja contoh yang lalu.”

Menyentuh mengenai acara sambutan, Awang Pudarno berkata bahawa acara mengetengahkan kempen promosi bagi mendekatkan Jabatan Muzium-Muzium kepada orang ramai iaitu dengan mengadakan kempen promosi menggunakan tayangan video dan kegiatan jerayawara yang menggambarkan kegiatan serta fungsi jabatan berkenaan serta menganjurkan sebuah kegiatan khas iaitu Museums Race Brunei.

Majlis kemudian menyaksikan Datin Paduka Hajah Adina menyempurnakan pelancaran sambutan serta menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada para pesara dan penyumbang kepada kegiatan-kegiatan Jabatan Muzium-Muzium.

Datin Paduka Hajah Adina kemudian diberikan penerangan dan melawat pameran mengenai dengan perkhidmatan dan peranan Jabatan Muzium-Muzium.

Pameran yang dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 11 pagi hingga 9 malam itu meliputi beberapa perkara yang berhubungan dengan Jabatan Muzium-Muzium termasuk khidmat nasihat pemeliharaan bahan, khidmat nasihat terhadap pengurusan rekod, tayang filem-filem lama, jualan bahan-bahan terbitan jabatan serta jualan memperingati Sambutan Jubli Emas Jabatan Muzium-Muzium.

ARTIKEL YANG SAMA