Sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan di Kota Samarahan

Sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan di Kota Samarahan

KUCHING, 19 Okt – Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015 yang akan diadakan dari 27 Nov hingga 3 Disember depan di Perkarangan Dewan Suarah Kota Samarahan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata bertemakan ‘Agro Teknologi Pemangkin Tranformasi’ program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 November.

Katanya program berkonsepkan ‘pameran perdagangan’ dan karnival/festival itu merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan peladang, penternak dan nelayan kepada negara.

“HPPNK 2015 akan mendedahkan maklumat terkini dan teknologi baharu dalam pembangunan pertanian dan industri asas tani kepada peladang, penternak dan nelayan serta masyarakat umum yang boleh dikongsi bersama.

“Selain itu objektik HPPNK 2015 juga adalah untuk mempamerkan dan mempromosi teknologi dan hasil kajian terbaharu oleh jabatan, agensi kerajaan dan sektor swasta yang bersesuaian untuk masyarakat peladang, penternak dan nelayan ke arah pemodenan dan perindustrian sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat persiapan sambutan HPPNK 2015, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOA Datuk Amran Alias.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak berkata 12 negeri sudah mengesahkan penyertaan dan pihaknya menjangka program selama tujuh hari ini dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.

Antara aktiviti menarik sepanjang HPPNK 2015 ialah pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, pameran dan jualan sektor swasta/individu, pameran teknologi pertanian moden, kejenteraan dan inovasi, serta promosi dan jualan hasil-hasil pertanian, ternakan, akuakultur dan penangkapan ikan. – Bernama