Sambutan Hari Raya Bomba Sungai Liang

Sambutan Hari Raya Bomba Sungai Liang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 25 Julai – Bagi menyemarakkan lagi bulan Syawal yang semakin hampir ke penghujungnya, Balai Bomba Sungai Liang telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman; pegawai-pegawai KHEDN; para penghulu dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan dari ibu pejabat; pegawai-pegawai pemerintah serta Ketua Pegawai Balai Bomba Syarikat BSP, Awang Ismail bin Rajab.

Di samping menyemarakkan Sambutan Hari Raya, majlis berkenaan juga bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim antara rombongan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan anggota balai bomba berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Sungai Liang.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Sungai Liang.

Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, SO Muhamad Ali bin Hassan, selaku pengerusi majlis, dalam taklimat ringkasnya pada majlis itu telah menjelaskan sejarah penubuhan balai bomba tersebut yang mula beroperasi pada 14 September 1990.

Menurutnya, balai bomba tersebut mempunyai lebih 40 orang anggota, termasuk lapan orang yang bertugas pada waktu pejabat, serta seorang kakitangan awam sebagai tukang masak.

Sempena ulang tahun beroperasinya balai bomba tersebut, pada 14 September nanti, mereka dijangka akan mengadakan majlis korban yang bakal diadakan di balai bomba tersebut.

Majlis ramah mesra berkenaan telah diteruskan dengan Yang Berhormat Pehin menandatangani buku lawatan, disusuli dengan acara bergambar ramai dan sebagai
memperingati kunjungan Yang Berhormat Pehin, SO Muhamad Ali menyampaikan cenderahati sebagai mengakhiri majlis.

ARTIKEL YANG SAMA