Sambutan Hari Raya IAB

Sambutan Hari Raya IAB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 10 Ogos – Biarpun bulan Syawal sudah seminggu meninggalkan kita, namun semarak sambutan Hari Raya masih lagi dapat dirasakan melalui majlis-majlis rumah terbuka seperti yang diadakan oleh Persatuan India Belait (IAB), di dewan bangunan persatuan tersebut di sini, malam tadi.

Presiden IAB, K.Salim bin Abdul Karim (Salimo) memberitahu Media Permata hari ini, kesempatan untuk mengadakan Majlis Rumah Terbuka IAB, agak terbatas semasa bulan Syawal lalu, ekoran ramai dalam kalangan ahlinya yang bercuti dan pergi ke luar negara dan ada juga yang menguruskan komitmen masing-masing, sehubungan itu, majlis ini agak terlambat diadakan, tetapi ia tetap meriah.

K. Salim, dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut, telah merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahlinya yang dapat bersama-sama meraikan sambutan tersebut dan dalam masa yang sama membuktikan perpaduan dan kerjasama yang sentiasa dibina antara mereka.

“Majlis seperti ini, juga turut membawa keharmonian, dalam kalangan para ahli persatuan ini, selain akan terus mengeratkan lagi silaturahim, dan membukakan peluang untuk sama-sama beramah mesra, setelah sibuk dengan komitmen dan kerjaya masing-masing di hari-hari biasa,” katanya.

Presiden IAB bersama ahli-ahli IAB dalam sesi bergambar ramai pada akhir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya IAB.
Presiden IAB bersama ahli-ahli IAB dalam sesi bergambar ramai pada akhir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya IAB.
Ahli-ahli IAB menikmati juadah yang tersedia.
Ahli-ahli IAB menikmati juadah yang tersedia.

Sambutan tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan IAB, di mana lebih 100 orang hadir bagi sama-sama bergembira sambil menikmati hidangan yang disediakan.

Melalui majlis seperti itu, IAB juga membuktikan kerjasama yang perlu sentiasa dipupuk, dan sentiasa menjaga keperluan dalam kalangan masyarakat India di negara ini, terutama sekali dalam usaha terus mempromosikan Skim Kumpulan Insurans IAB mereka.

Skim tersebut menyasarkan pekerja-pekerja yang berpendapatan kecil, untuk melindungi kematian dan kecacatan di luar waktu bekerja, yang turut meliputi penghantaran balik jenazah ke negara masing-masing ke atas ahli mereka yang merupakan pekerja dari luar negara

ARTIKEL YANG SAMA