Sambutan Hari Raya Kementerian Kewangan

Sambutan Hari Raya Kementerian Kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Kementerian Kewangan, baru-baru ini, tidak ketinggalan menyemarakkan Syawal dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Lobi Utama Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal), Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah; Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan), Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis berkenaan dikendalikan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian dengan tujuan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dan memberi peluang beramah mesra serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pesara.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman menyampaikan cenderahati kepada salah seorang pesara.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Urusan Tabung Amanah Pekerja, Haji Omar bin Haji Mohd Dali selaku pengerusi jawatankuasa majlis.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kepada seramai 25 orang pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di dalamnya yang telah bersara atau akan bersara pada tahun 2016 yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Bagi menyerikan lagi majlis pada malam tersebut, tetamu kehormat bersama tetamu-tetamu khas yang lain turut beramah mesra bersama pegawai-pegawai dan kakitangan serta keluarga masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA