Sambutan Hari Raya kukuhkan perpaduan

Sambutan Hari Raya kukuhkan perpaduan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 31 Julai – Badan Kebajikan Pegawai dan Guru-Guru Ugama Daerah Belait, Jabatan Pengajian Islam (JPI), hari ini, telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 11 Jabatan Daerah Belait, Awang Mohd Abdul Hadi bin Haji Mohd Syarifuddin.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 200 orang pegawai JPI, guru-guru agama serta kakitangan di bawah JPI Daerah Belait itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan guru-guru agama di daerah ini, di samping meraikannya sebagai tanda kemenangan setelah berpuasa di bulan Ramadan.

Pengerusi majlis, Dayang Mariam binti Haji Momin, dalam ucapan alu-aluannya berkata Sambutan Hari Raya yang diadakan ini adalah sebagai menghidupkan tradisi yang telah lama diamalkan, yang memberikan pengertian amat mendalam sebagai tanda kesyukuran.

Menurutnya lagi, sambutan ini juga boleh menanamkan rasa harmoni, mengeratkan hubungan silaturahim serta kasih sayang dan membukakan ruang interaksi dan komunikasi.

Persembahan nyanyian Selamat Hari Raya oleh anak-anak para guru sekolah agama Daerah Belait.
Persembahan nyanyian Selamat Hari Raya oleh anak-anak para guru sekolah agama Daerah Belait.
Awang Mohd Abdul Hadi menyampaikan sumbangan khairat kepada salah seorang guru yang telah bersara di Majlis Sambutan Hari Raya JPI Daerah Belait, kelmarin.
Awang Mohd Abdul Hadi menyampaikan sumbangan khairat kepada salah seorang guru yang telah bersara di Majlis Sambutan Hari Raya JPI Daerah Belait, kelmarin.
Antara yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pengajian Islam Belait.
Antara yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pengajian Islam Belait.

“Di samping menikmati berbagai-bagai juadah dan hidangan yang disediakan, majlis ini juga dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kesejahteraan yang ingin kita kecapi, dan hubungan yang erat dalam jabatan ini adalah penting membentuk semangat kewargaan bagi menjalankan tugas dan fungsinya dengan lebih berkesan ke arah merealisasikan hasrat misi dan visi Jabatan Pengajian Islam,” katanya.

Majlis sambutan berkenaan turut menyaksikan tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sumbangan khairat kepada guru-guru yang telah bersara dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Peraduan Kaligrafi Khat.

Barisan pemenang Peraduan Kaligrafi Khat bersama karya masing-masing.
Barisan pemenang Peraduan Kaligrafi Khat bersama karya masing-masing.

Pemenang pertama peraduan itu ialah Awang Mohd Irwan bin Haji Sabtu yang merupakan guru dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait, diikuti oleh Awang Ruzi bin Puli juga dari sekolah yang sama di tempat kedua, dan tempat ketiga disandang oleh Awang Asri bin Haji Basir dari Sekolah Ugama Sayyidina Ali Kuala Belait.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya oleh anak-anak kepada para guru agama di daerah ini, disusuli dengan menikmati jamuan.

ARTIKEL YANG SAMA