Sambutan Hari Raya PGGMB

Sambutan Hari Raya PGGMB

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 31 Julai – Sebelum berakhirnya bulan Syawal, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Tutong, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohammad Taha bin Abdul Rauf selaku Penghulu Mukim Keriam yang juga merupakan ahli PGGMB.

Tahun ini, cawangan PGGMB Daerah Tutong telah diberi penghormatan untuk mengendalikan majlis berkenaan yang bertujuan bagi mendedahkan ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli PGGMB di daerah ini khususnya dan seluruh keluarga PGGMB amnya tentang pentingnya aspek-aspek kepimpinan, kesejahteraan, kebajikan dan komitmen yang perlu dimiliki oleh setiap ahli dalam PGGMB.

Majlis juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli PGGMB di daerah ini dengan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Tadbir PGGMB.

Majlis dipengerusikan oleh Naib Yang Di-Pertua PGGMB Daerah Tutong, Haji Mohd Said bin Haji Mohd Noor.

Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Tadbir PGGMB bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohammad Taha.
Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Tadbir PGGMB bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohammad Taha.

Hadir sama ialah ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB yang terdiri daripada Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad; Timbalan Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Badar bin Haji Mohd Ali; Setiausaha Agung PGGMB, Haji Matassan bin Haji Bungso; Pengerusi Tetap PGGMB, Haji Jamal bin Kahar dan Setiausaha Kewangan, Haji Superi bin Brahim.

Semasa menyampaikan ucapan, Haji Antin juga berkesempatan mengongsikan perkembangan terkini dan kedudukan perkembangan kegiatan dan ekonomi persekutuan yang mana pada masa ini, perkembangannya masih dalam peringkat ‘recovery’.

Majlis sambutan Hari Raya turut menyaksikan penyampaian derma kebajikan PGGMB yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PGGMB dan seterusnya menikmati jamuan, dan beramah mesra.

Di samping itu, majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian Hari Raya dan diikuti dengan cabutan bertuah dan acara kuiz.

ARTIKEL YANG SAMA