Sambutan Hari Raya PPNBD

Sambutan Hari Raya PPNBD

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Walaupun bulan Syawal sudah berakhir, namun sambutan Hari Raya Aidilfitri masih diadakan oleh pelbagai pihak bagi mengambil kesempatan merapatkan lagi silaturahim.

Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), hari ini, turut mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang telah berlangsung di Dewan Serba Guna Ibu Pejabat PPNBD, di Jalan Gadong.

Majlis berkenaan dijalankan secara gabungan antara kesemua empat-empat daerah iaitu Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Persatuan Pengakap Daerah Belait, Persatuan Pengakap Daerah Temburong, dan juga Bahagian Pentadbiran PPNBD.

Antara yang hadir ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas dan datin, berserta Ketua Pegawai Eksekutif PPNBD, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad.

Turut hadir ialah ketua pesuruhjaya PPNBD, naib yang di-pertua III, timbalan ketua pesuruhjaya PPNBD, setiausaha agung, bendahari agung, para pesuruhjaya dan penolong pesuruhjaya pengakap, pemimpin-pemimpin dan penolong pemimpin pasukan pengakap, ahli-ahli pengakap serta keluarga.

Yang Di-Pertua PPNBD bergambar ramai bersama ahli-ahli pengakap yang lain ketika melawat ke pondok-pondok Hari Raya.
Yang Di-Pertua PPNBD bergambar ramai bersama ahli-ahli pengakap yang lain ketika melawat ke pondok-pondok Hari Raya.
Para tetamu menikmati jamuan yang disediakan.
Para tetamu menikmati jamuan yang disediakan.

Haji Mohd Zali, yang juga selaku pengerusi majlis berkenaan, dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa tujuan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri tersebut diadakan adalah bagi merapatkan silaturahim sebagaimana yang terkandung di dalam undang-undang pengakap yang mana pengakap itu bersaudara di antara satu dengan yang lain.

Di samping itu juga bagi melahirkan rasa syukur kerana berpeluang meraikan Hari Raya sekali lagi setelah berjaya menempuh cabaran berpuasa di bulan Ramadan.

Beliau berharap agar pemimpin-pemimpin pengakap serta ahli-ahli pengakap akan lebih bersemangat dan berdaya usaha serta bersedia menyertai kegiatan-kegiatan pengakap seperti membantu kegiatan kemasyarakatan baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan majlis, antaranya cabutan bertuah serta pertandingan pondok terbaik antara empat-empat persatuan pengakap daerah dan juga Bahagian Pentadbiran PPNBD.

Kemeriahan majlis berkenaan turut dikongsikan bersama dengan rakan-rakan penyokong serta penyewa-penyewa premis bangunan pengakap berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA