Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Labuan 1 Feb ini

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Labuan 1 Feb ini

LABUAN, 25 Jan – Lebih 20,000 orang dijangka menyertai sambutan Hari Wilayah Persekutuan selama sebulan di sini, yang menghidangkan pelbagai acara menarik, bermula minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Nadzri Osman berkata ramai pelawat dijangka berkunjung ke pulau bebas cukai ini sempena sambutan itu berikutan wujudnya pelbagai program dan kemudahan yang dinaiktarafkan.

“Kehadiran beribu-ribu penduduk pulau bebas cukai ini sendiri, dari tanah besar Sabah dan Sarawak serta Brunei di karnival selama sebulan yang bermula 1 Februari ini, akan mengubah pulau ini menjadi lautan manusia. Kami menjangka aliran pelawat akan meningkat,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan acara utama yang disusun untuk memeriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) berharga RM26 juta dan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 6 Februari.

“Kami menjangka lebih 10,000 orang akan berkunjung ke venue berkenaan bagi menyaksikan dua acara itu,” katanya.

Nadzri berkata 27 kampung akan berganding bahu untuk menyediakan hidangan untuk Kenduri 1Wilayah di Labuan Market Sentral pada hari sama.

“Ini akan menjadi satu lagi daya tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke pulau ini. Kami juga akan menganjurkan festival sukan dan sukan laut seperti acara tarik tali bot, futsal, pertandingan memancing dan Larian Hari Wilayah Persekutuan yang turut melibatkan peserta dari Sabah dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata artis tempatan seperti Amy Search dan Dadali Band dari Indonesia juga diundang untuk mengadakan persembahan pada majlis perasmian sambutan itu. – Bernama