Sambutan Hijrah Kementerian Pendidikan

Sambutan Hijrah Kementerian Pendidikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Kementerian Pendidikan, hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi menyemarakkan lagi sambutan tahun baru Islam itu.

Majlis yang dikendalikan bersama oleh Bahagian Pendidikan Swasta dan Unit Hal Ehwal Antarabangsa itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku tetamu kehormat.

Hadir sama ialah Menteri Kesihatan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Naib Canselor Institut Teknologi Brunei (ITB), Prof. Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Unit Perhubungan UNISSA, Haji Sammali bin Haji Adam, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, (SMALHB), Pengiran Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki.

Tetamu kehormat (tengah) di Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437.
Tetamu kehormat (tengah) di Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437.

Atur cara kemuncak majlis ialah ceramah khas yang disampaikan oleh Penolong Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad, bertajuk Hijrah Rasulullah SAW ‘Pengorbanan Menuju Terbaik.’

Majlis diserikan lagi dengan persembahan Tausyeh oleh mahasiswa UNISSA dan penyampaian sumbangan derma kepada sembilan orang saudara baru yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan pendidikan swasta yang memeluk agama Islam bagi 1436-1437 Hijrah oleh tetamu kehormat.

Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 merupakan acara tahunan kementerian itu bagi menyemarakkan lagi dan memperingati Hijrah Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah Al Munawarah.

Di samping itu, ia juga diadakan bagi memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian dan pendidikan swasta yang sekali gus membina kesedaran ummah.

Kira-kira 500 orang hadir di majlis itu, yang antaranya terdiri daripada para pegawai kanan, pegawai, pensyarah, pemimpin sekolah serta para guru dari sekolah-sekolah kerajaan dan pendidikan swasta.

ARTIKEL YANG SAMA