Sambutan Jubli Emas bermula

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Perayaan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bermula secara rasminya hari ini dengan Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Lapau, di ibu negara.

Majlis Istiadat tersebut berlangsung di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Berangkat sama ke majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Sejurus disembahkan kehadapan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, Istiadat Gendang Jaga-Jaga didahului oleh Juru Laki Haji Johan Areffen bin Hassan menjunjung anugeraha berjalan menuju ke Pataratna dan seterusnya mengangkat dan mengusung Nakara di atas kepalanya.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota semasa berkenan berangkat ke Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Lapau, kelmarin. Berangkat sama DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Mateen semasa berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga, kelmarin.

Setelah berada di tempat yang dikhaskan, Nakara mula dititir diikuti dengan gualan Gendang Labek, tiupan Serunai, pukulan Agong dan Chanang dengan diiringi 21 das tembakan meriam oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Polis Tentera ABDB, Leftenan Kolonel Mardini bin Abdul Rahman.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Juru Laki Haji Johan Areffen mengangkat dan mengusung Nakara di atas kepalanya.
Nakara mula dititir diikuti dengan gualan Gendang Labek, tiupan Serunai, pukulan Agong dan Chanang.

Hadir pada majlis ini ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, mantari-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.

Selesainya istiadat berkenaan, maka Malam Berjaga-jaga akan dilangsungkan di Istana Nurul Iman mulai malam ini sehingga 7 Oktober ini nanti.

Acara Sambutan Jubli Emas seterusnya akan disemarakkan dengan Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Al-Waqi’ah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan Doa Kesyukuran di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, esok mulai pukul 5 petang.

Umat Islam di negara ini adalah dialu-alukan untuk datang beramai-ramai menghadiri majlis tersebut.