Sambutan menggalakkan Hari Terbuka SMALHB

Sambutan menggalakkan Hari Terbuka SMALHB

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) menerima kunjungan yang menggalakkan daripada para pelajar tiga buah institusi pengajian dalam bidang agama di negara ini pada Hari Terbuka SMALHB yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Hari Terbuka SMALHB yang diadakan buat kali ketiga itu telah dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam, Hajah Rusita binti Haji Yahya yang turut menyaksikan pameran.

Acara berkenaan menyasarkan pelajar Tahun 11 Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), Ma’had Islam Brunei dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Antara objektif hari terbuka tersebut itu adalah untuk menyediakan asas kemahiran bimbingan kepada pelajar memilih jurusan di samping memperkenalkan kepada pelajar syukbah pilihan dan mata pelajaran yang terkandung di dalamnya.

Pelajar dan ibu bapa yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke Hari Terbuka SMALHB, kelmarin.
Pelajar dan ibu bapa yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke Hari Terbuka SMALHB, kelmarin.
Hajah Rusita bergambar dengan tenaga pengajar di SMALHB semasa melawat pameran.
Hajah Rusita bergambar dengan tenaga pengajar di SMALHB semasa melawat pameran.

Selain itu, ia memperkenalkan tawaran biasiswa kepada pelajar dan menarik minat pelajar baru untuk mengikuti kelab yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

Lebih 20 bahagian, jabatan, unit dan kelab menyertai hari terbuka berkenaan yang turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sampingan seperti tayangan mini video SMALHB, kuiz, pameran, lawatan sekitar kawasan sekolah dan galeri serta jualan barang-barang SMALHB, jualan mini bazar makanan dan minuman.

Dengan adanya Hari Terbuka SMALHB ini, ia diharap memberi manfaat dan menambah pengetahuan pelajar dalam memilih syukbah yang tepat bersesuaian dengan keputusan peperiksaan yang dilaksanakan.

ARTIKEL YANG SAMA