Sambutan perl...

Sambutan perlu secara sederhana dan bersejarah

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, hari ini, bersabda bahawa dalam merancang Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan, acara-acara perlulah bersifat sederhana, ringkas serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai tarikan kepada orang ramai.

Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda bahawa 28 September 2017 ditetapkan sebagai tarikh Pembukaan Gendang Jaga-Jaga bagi menandakan bermulanya Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta di mana tarikh pembukaan dan penutup gendang jaga-jaga akan berlangsung pada Khamis, 28 September 2017 sehingga Khamis, 12 Oktober 2017. “Jawatankuasa-jawatankuasa sektoral hendaklah sentiasa dipandu oleh titah Paduka Ayahanda yang menekankan aspek kesederhanaan dan sifat sambutan sebagai petanda bagi segala rakyat,” sabdanya lagi di Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

“Komitmen dan dedikasi yang diberikan akan terus berkekalan, lebih-lebih lagi pada peringkat pelaksanaannya nanti, ke arah memastikan setiap perancangan berjalan dengan lancar dan sempurna.”

“Semangat permuzakarahan serta penyelarasan yang berterusan antara jawatankuasa-jawatankuasa sektoral berkaitan dengan pihak-pihak yang berkepentingan lainnya adalah mustahak. Sambutan Jubli Emas diharapkan memberikan impak besar dalam menjana serta menggiatkan aktiviti perekonomian yang mapan.

“Mengenai dengan Pataratna Diraja untuk dibuat baru sahaja dengan reka bentuk yang moden dan bersesuaian iaitu tidak terlalu besar (praktikal), tidak terlalu tinggi dan ringkas di mana reka bentuk yang tidak bersesuaian perlu dielakkan serta yang paling penting, reka bentuk berkenaan tidak menyalahi dan bercanggah dengan ugama Islam,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda pada Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda pada Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan.

“Paduka Ayahanda turut menekankan untuk berjimat-cermat dalam membuat dan mereka Pataratna berkenaan.”

Duli Yang Teramat Mulia turut menekankan mengenai laluan perarakan Sambutan Jubli Emas untuk bermula dan berakhir di hadapan Balai Bomba Bandar Seri Begawan sahaja seperti perarakan Jubli Perak.

“Paduka Ayahanda seterusnya bertitah bahawa apa yang penting ialah perarakan itu sendiri kerana ianya adalah acara yang walih daripada acara sambutan Paduka Ayahanda dan penglibatan dan aktiviti orang ramai yang dapat ikut serta dan mengiringinya”.

Sementara itu, mengenai dengan cadangan membina dewan besar kekal.

Duli Yang Teramat Mulia menegaskan, “Paduka Ayahanda bertitah ia merupakan cadangan yang baik tetapi dalam keadaan ekonomi semasa dan keperluan untuk berjimat-cermat, cadangan untuk membina boleh difikirkan di kemudian hari.

“Projek-projek yang dilaksanakan biarlah yang mendatangkan faedah kepada orang ramai seperti Pasar Gadong dan Kianggeh.

“Jika dewan dibina, ianya memerlukan peruntukan yang tinggi untuk membina dan juga peruntukan bagi kos penyelenggaraan.

“Pada masa ini, Bangunan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah sudah mempunyai reka bentuk yang indah dan percaya orang ramai yang melawatnya nanti akan merasa kagum.

“Paduka Ayahanda juga menekankan supaya apa jua acara-acara bagi Sambutan Jubli Emas seperti perarakan Sambutan Jubli Emas, hendaklah dicadang dan dirancang dengan teliti dan perlu mempunyai nilai sejarah di mana orang ramai akan ghairah untuk sama-sama menyaksikan atau menyertai serta dihargai dan bukannya dinilai daripada banyaknya jumlah acara yang dirancang.”

Duli Yang Teramat Mulia menambah, “Sebagai kesimpulan melalui titah-titah Paduka Ayahanda dalam merancang Sambutan Jubli Emas Paduka Ayahanda ini, acara-acara perlulah bersifat sederhana, ringkas serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai tarikan kepada orang ramai.

“Dalam perkara yang berkaitan, Paduka Ayahanda juga memperkenankan supaya potret wajah Paduka Bonda menghiasi pintu-pintu gerbang di semua daerah bersebelahan potret Paduka Ayahanda.”

Duli Yang Teramat Mulia menjunjung tinggi segala titah-titah Baginda Sultan tersebut sebagai panduan hala tuju pelaksanaan acara-acara dan aktiviti-aktiviti sambutan.

“Justeru saya mahu supaya jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan untuk memberikan perhatian yang khusus mengenai dan mengambil tindakan yang perlu terhadap perkara-perkara dalam titah Paduka Ayahanda tadi.”

Duli Yang Teramat Mulia juga berharap perbincangan yang diadakan akan dapat mencetuskan pemikiran bernas dan berupaya memudah cara serta mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan acara-acara sambutan selaras dengan hasrat untuk melihat kesempurnaan dan kewalihan acara yang direncanakan itu.