Sambutan Pesta Kaamatan perlu dipertahankan

Sambutan Pesta Kaamatan perlu dipertahankan

KOTA KINABALU, 15 Mei (Bernama) – Pesta Kaamatan sebagai perayaan warisan asli negeri Sabah harus dipertahankan dan dimanfaatkan menjadi sinergi memacu sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sehubungan itu beliau berharap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan terus menganjurkan pesta Kaamatan secara berterusan setiap tahun dan mengatur program secara menyeluruh di bandar raya itu supaya ‘mood’ Kaamatan dapat dirasai bukan saja warga bandar raya tetapi juga pelancong.

“Perayaan Kaamatan ini hanya terdapat di Sabah dan seharusnya kita manfaatkan perayaan ini untuk mempromosi Kaamatan dan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Padang Merdeka, di sini malam ini.

Mengulas mengenai karnival yang berlangsung selama dua hari sejak semalam itu, Salleh berkata ia bukan sahaja dapat mempromosi interaksi silang bangsa tetapi juga memupuk sifat masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, sekali gus membantu mewujudkan suasana yang kondusif dan harmoni.

“Karnival Kaamatan ini melibatkan kerjasama dan usaha pelbagai kaum dan etnik yang secara langsung memperlihatkan semangat bersatu padu, muhibah dan persefahaman antara warga bandar raya ini.

Sebahagian daripada gadis-gadis suku kaum Kadazandusun yang menyertai pertandingan Unduk Nagadau sempena sambutan Pesta Kaamatan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Padang Bandaraya malam tadi. – Bernama
Sebahagian daripada gadis-gadis suku kaum Kadazandusun yang menyertai pertandingan Unduk Nagadau sempena sambutan Pesta Kaamatan anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Padang Bandaraya malam tadi. – Bernama

“Ia selaras dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu Keamanan dan Persahabatan,” katanya.

Salleh juga percaya Karnival Kaamatan boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan selain menjadi wadah untuk memperkukuhkan perpaduan nasional, khususnya di Sabah yang mempunyai lebih 30 suku kaum etnik dan mempunyai lebih 50 dialek bahasa.

Sementara itu, Salleh menyeru semua rakyat di negeri ini agar sentiasa menghargai pengorbanan dan perjuangan pemimpin serta rakyat terdahulu yang telah memastikan Sabah terus aman dan harmoni.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah amat penting untuk semua rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk sentiasa bersatu padu, bekerjasama menjaga semangat perpaduan dan persefahaman demi kecemerlangan dan kemajuan negeri dan negara.

“Kita mesti bermuafakat, berganding bahu dan berjuang teguh bersama dalam menangani pelbagai isu seperti ekonomi dan keselamatan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

“Kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan termasuk Pesta Kaamatan dalam keadaan aman dan damai di negara ini. Tidak seperti di sesetengah negara atau di tempat lain di mana berlaku pertelagahan antara kaum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata kementerian itu bercadang mewujudkan perkhidmatan WiFi percuma di kawasan bandar raya ini.

Beliau berkata peruntukan bagi perkhidmatan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kementerian.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Mayor Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya ingin menjadikan bandar raya Kota Kinabalu setanding dengan bandar raya lain yang mempunyai perkhidmatan WiFi secara percuma.

“Dengan adanya perkhidmatan itu (WiFi) masyarakat khususnya golongan muda dapat melayari internet secara percuma dan mudah berkomunikasi ketika berada di bandar raya ini,” katanya.