Sambutan pesta Kampung Belimbing mengalakkan

Sambutan pesta Kampung Belimbing mengalakkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Pesta Jualan, Pesta Pancing dan Sukan Hari Keluarga bagi Kampung Belimbing yang berlangsung di Taman Riadah Tasik Sarubing, Kampung Belimbing bermula 25 Disember lalu telah dilaratkan sehingga esok berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Acara anjuran Majlis Perundingan Kampung Belimbing itu diadakan untuk memberikan peluang kepada orang ramai mengunjungi pesta jualan lebih-lebih lagi semasa orang ramai menerima bonus hujung tahun.

Pesta ini turut menjadikan produk kampung sebagai sumber perekonomian dan pendapatan penduduknya melalui inisiatif ‘Satu Kampung Satu Produk’ di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.

Menurut salah seorang peniaga, Haji Harun bin Haji Mohd Nasir dari Syarikat Seasonal & MS yang menyertai pesta jualan tersebut memberitahu bahawa sambutan sepanjang pesta amat menggalakkan dan begitu meriah sejak hari pertama.

Haji Harun semasa ditemui Media Permata.
Haji Harun semasa ditemui Media Permata.
Antara petak jualan yang menyertai pesta tersebut.
Antara petak jualan yang menyertai pesta tersebut.

pg05_151229_c

Haji Harun yang berasal dari Kampung Mentiri berkata, sebahagian daripada jualan ini adalah produk beliau sendiri seperti buah betik, ikan tahai aur-aur dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya juga pernah menyertai ekspo jualan di dalam dan luar negara dan telah berkecimpung dalam bidang perniagaan selama 35 tahun.”

Pesta jualan ini merangkumi hampir 20 petak jualan yang mempamerkan produk-produk seperti pakaian, hasil pertanian, makanan dan sebagainya.

Selain mengunjungi gerai jualan, para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai acara sampingan untuk orang ramai seperti memancing, Sukan Ria Hari Keluarga dan Jogathon.

ARTIKEL YANG SAMA