Sambutan Raya UNISSA meriah

Sambutan Raya UNISSA meriah

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Kunjung-mengunjungi sudah menjadi satu tradisi dalam meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mengambil peluang untuk saling bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.

Dalam kesempatan itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan konsep ‘Pondok Terbuka’ di Dewan Gimnasium, UNISSA, hari ini.

Hadir menyerikan majlis ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan seterusnya memulakan upacara dengan mengunjungi setiap pondok/booth yang disediakan.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh beberapa duta-duta dan wakil daripada kedutaan besar dan perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam serta para pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

Sambutan ini diadakan adalah bertujuan mempererat lagi hubungan silaturahim antara para mahasiswa dan mahasiswi itu sendiri dan juga dengan para pensyarah dan pegawai dan kakitangan UNISSA.

Delegasi (IAIN) Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia turut berpeluang meraikan sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh UNISSA.
Delegasi (IAIN) Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia turut berpeluang meraikan sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh UNISSA.

Selain itu, ia juga untuk memperkenalkan kepada pensyarah atau pelajar asing yang bertugas atau mengikuti pengajian di UNISSA tentang budaya orang Brunei dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pada waktu yang sama, sebelum majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, pihak UNISSA juga sempat menerima kunjungan dari Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Bukittinggi, Sumatera Barat, Republik Indonesia.

Rombongan diketuai oleh wakil rektor institut berkenaan iaitu Dr. Novi Henri.

Tujuan lawatan adalah untuk mengadakan kolaborasi antara UNISSA dan IAIN Bukittinggi dalam bidang pengajian Islam serta mencari peluang kerjasama dalam merangka aktiviti-aktiviti yang bersesuaian di masa akan datang.

Para delegasi juga berkesempatan dibawa sama menikmati juadah Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh UNISSA.

ARTIKEL YANG SAMA