Sambutan utama mulai 15 Ogos

Sambutan utama mulai 15 Ogos

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan tarikh 15 Ogos sebagai cuti khas bagi sempena menyambut Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke 69, tahun ini.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda mengumumkan perkara ini pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan Ke-69 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar hari ini.

“Bagi memperingati tarikh Ulang Tahun Keputeraan Paduka Ayahanda pada 15 Julai 2015 tersebut, seperti mana juga pada tahun lepas, tembakan meriam sebanyak 21 das akan diadakan pada sebelah pagi, sementara Majlis Doa Kesyukuran diadakan dalam waktu Zuhur.

“Acara-acara sambutan perayaan utama dan acara-acara keraian yang lain akan bermula pada 15 Ogos 2015 dengan dimulakan Istiadat Perbarisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien dan disusuli dengan Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman,” sabda Duli Yang Teramat Mulia yang juga selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-69 Tahun.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda, sambutan tradisi turun temurun itu tidak syak lagi merupakan satu simbol kekukuhan perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk di Brunei dan adalah sinonim dengan kemajuan, keamanan dan kemakmuran berterusan yang terhasil dari kepimpinan seorang raja yang bijaksana lagi berjiwa rakyat.

pg01_150715_a

“Paduka Ayahanda telah menerajui kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai dan kita nikmati sehingga kini yang mana berpaksikan iltizam dan pandangan jauh serta sikap pemedulian untuk sentiasa menitikberatkan perkara-perkara asas dalam menjaga serta memelihara kepentingan rakyat dan penduduk.

“Justeru itu, peluang untuk menzahirkan kesyukuran terhadap keamanan dan kemakmuran yang dinikmati tersebut seharusnya ditonjolkan melalui pengungkayahan majlis-majlis dan acara-acara sambutan nanti.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota bersabda, maka itu, adalah mustahak bagi setiap yang dirancang tersebut sebolehnya berupaya untuk membuka peluang dalam menarik penglibatan yang aktif lagi bermakna dan sepadu di kalangan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penuntut-penuntut sekolah dan belia serta rakyat dan penduduk negara ini amnya.

“Di sinilah tanggungjawab kita selaku Jawatankuasa Tertinggi, untuk terus mencetuskan pemikiran-pemikiran bernas serta pembentukan perencanaan yang strategik, terarah lagi teratur bagi tujuan penambahbaikan dan pembaharuan yang perlu dengan bersandarkan kepada pengalaman-pengalaman lalu.

“Ke arah itu, kita perlu mengambil iktibar dari setiap kelemahan dan kekurangan yang lepas dan meningkatkan lagi azam, iltizam dan juga memperkukuhkan kebertanggungjawaban kita bagi memastikan kesempurnaan majlis dan acara-acara sambutan.

“Di sinilah kita boleh menghargai nilai dan hasil positif dari mengadakan mesyuarat post-mortem seperti yang telah saya timbulkan pada mesyuarat tahun lepas di samping perlunya ada maklumat-maklumat yang sahih serta data-data dokongan agar perbincangan itu nanti berasas dan realistik.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota menekankan perlunya tumpuan diberikan kepada inti pati atur cara-atur cara sambutan supaya ia mampu menarik lebih banyak penyertaan dan kehadiran setiap peringkat masyarakat.

“Matlamat kita adalah jelas iaitu untuk mengukuhkan perpaduan rakyat dan penduduk di negara ini terutama melalui sambutan majlis-majlis bersama rakyat di keempat-empat daerah.”

Sabdanya lagi, “Kita mahu memupuk kesepakatan melalui permuafakatan yang terhasil daripada pemikiran-pemikiran yang bukan sahaja government driven akan tetapi terbit dari gabungan idea-idea bersama pihak-pihak swasta, NGO termasuk golongan belia dan lebih penting lagi orang ramai amnya.

“Dengan demikian, kita dapat merancang semua acara yang bersifat universal yang malah turut mewujudkan rasa kekitaan dan kesatuan (sense of belonging and togetherness) di kalangan setiap peringkat rakyat dan penduduk.

“Pada pendapat saya, sumbangan pemikiran dan penglibatan rakyat dan penduduk secara amnya itu boleh sahaja ditangani di peringkat Jabatan-jabatan Daerah dengan kerjasama Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

“Justeru, setiap penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan mustahak mereka selaku pemimpin yang menjadi tunjang kepada mengerakkan dan menggalakkan penglibatan anak-anak buah kampung masing-masing dalam merebut peluang keemasan ini untuk hadir beramai-ramai ke majlis-majlis bersama rakyat yang diungkayahkan nanti.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota bersabda, ini bukan sahaja melambangkan perpaduan dan kesepakatan rakyat dan penduduk yang kukuh malah pada menzahirkan rasa kesyukuran, penghargaan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.