Sambutan wira buat B-20 Serbia

Sambutan wira buat B-20 Serbia

BELGRADE, Serbia, 23 Jun (AFP) – Lebih 50,000 orang berkumpul di pusat bandar Belgrade untuk meraikan kejayaan Serbia menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20), di sini, semalam.

“Juara! Juara!”, sorak ribuan peminat yang berkumpul selepas skuad yang merakam sejarah itu tampil di balkoni Dewan Bandaraya Belgrade, lokasi secara tradisinya untuk meraikan atlet-atlet wira Serbia.

“Saya sayang kamu Serbia!” kata seorang daripada pemain Serbia yang turut beraksi di New Zealand, Andrija Zivkovic dengan keadaan pesta tambah meriah selepas trofi kejuaraan dipertontonkan.

“Mimpi kami menjadi kenyataan,” kata jurulatih B-20 Serbia, Veljko Paunovic. Pada Sabtu lalu di Auckland, Serbia merakam sejarah apabila memenangi Piala Dunia B-20 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Brazil di pentas final yang ditentukan menerusi tambahan masa.

Serbia cipta sejarah apabila muncul juara Piala Dunia B-20 selepas mengejutkan Brazil 2-1 pada final yang di heret ke masa tambahan, di Stadium North Harbour, di Auckland Isnin lalu.

Penyokong menyambut kedatangan skuad B-20 Serbia di Belgrade semalam selepas pasukan mereka menjuarai Piala Dunia B-20 FIFA di New Zealand Sabtu lalu. – Reuters
Penyokong menyambut kedatangan skuad B-20 Serbia di Belgrade semalam selepas pasukan mereka menjuarai Piala Dunia B-20 FIFA di New Zealand Sabtu lalu. – Reuters

Ini kali pertama Serbia merangkul gelaran itu selaku negara merdeka selepas kali pertama memenanginya di bawah bendera negara Yugoslavia pada 1987 di Chile, selain penampilan pertama di New Zealand.

Nemanja Maksimovic meledak gol kemenangan Serbia di minit ke-118, pada masa tambahan menerusi satu serangan balas pantas yang berjaya memperdaya pertahanan Brazil.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas berakhir 90 minit permainan. Serbia lebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-70 menerusi jaringan Stanisa Mandic.

Begitupun, kelebihan itu pantas dimatikan Brazil yang meledak gol penyamaan tiga minit kemudian menerusi Andreas Pereira.