Sambutan wira buat Van Persie

Sambutan wira buat Van Persie

ISTANBUL, 13 Julai (AFP) – Penyerang antarabangsa Belanda Robin van Persie menerima sambutan wira ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabhia Gokcen di Istanbul, Turki.

Bekas penyerang Manchester itu dilihat memakai memakai selendang rasmi Fenerbahce di bahunya dan tidak lama selepas mendarat dan disambut oleh beribu peminat kelab berkenaan yang menanti ketibaannya bagaikan seorang wira baru.

Pemain berusia 31 tahun itu tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah ribuan peminat barunya itu dan sekali lagi mengenakan selendang Fenerbahce di lehernya.

Suasana itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya akan apa yang bakal berlaku dalam tempoh beberapa jam ini.

Jelas sekali misinya ke Istanbul bukanlah untuk makan angin tetapi sebaliknya dengan matlamat yang satu iaitu menyertai sebuah kelab baru – sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada United.

Van Persie memberikan tanda bagus ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabhia Gokcen di Istanbul, Turki semalam. – AFP
Van Persie memberikan tanda bagus ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabhia Gokcen di Istanbul, Turki semalam. – AFP

Sebelum itu, Van Persie sudah pun mencetuskan viral dengan memuatnaikkan fotonya dan ahli keluarganya di luar pesawat peribadi berkenaan dalam laman sosial rasmi miliknya.

Khamis lalu, Fenerbahce telah membuat satu kenyataan yang mereka sedang dalam rundingan dengan United berhubung perpindahan van Persie ke Turki.

Bagaimanapun van Gaal yang ditanya mengenai kenyataan itu enggan mengesahkan atau menafikannya. Tetapi sebaliknya dia menegaskan tidak ada apa yang rasmi selagi mereka (para wartawan) tidak mendengarnya dari mulut Manchester United sendiri.

Sehingga saat ini, United tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perpindahan van Persie ke Fenerbahce walaupun pemain itu sudah ke sana untuk menjalani ujian perubatan dan kecergasan.

Media-media massa di Britain menyebut, van Persie akan menerima bayaran gaji 240,000 pound seminggu di Fenerbahce, iaitu sama dengan apa yang diperolehinya di United tetapi dengan jaminan yang dia akan menjadi pilihan utama yang mana United tidak boleh memberi jaminan yang sama kepadanya.

Van Persie telah menjaringkan 30 gol untuk United pada musim pertamanya (2012-13) selepas menyertai kelab itu pada harga perpindahan sebanyak 24 juta pound dari Arsenal sekaligus mengembalikan kejuaraan liga kepada United.

ARTIKEL YANG SAMA