Sambutan wira untuk atlet Paralimpik

Sambutan wira untuk atlet Paralimpik

SEPANG, 23 Sept – Kepulangan wira dan wirawati negara daripada Sukan Paralimpik di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut gembira oleh ahli keluarga masing-masing.

Bagi Mohamad Puzi Mat Isa, 56, beliau bersyukur dapat berjumpa dengan anaknya, Mohamad Ridzuan yang dikenali dengan panggilan manja ‘Dikwan’ setelah lebih tiga bulan tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama disebabkan atlet berkenaan giat menjalani latihan intensif sebelum ke Brazil.

“Pakcik rasa amat terharu memandangkan sudah lebih tiga bulan tidak berjumpanya. Pakcik tinggal di Perlis dan beliau pula di Kuala Lumpur, jadi memang susah nak jumpa, apa lagi jadual latihannya memang padat sebelum ke Brazil.

“Cuma pakcik dan isteri (Lailah Salleh) berkesempatan berjumpanya seketika sewaktu menghantar beliau ke Brazil di KLIA, awal bulan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

“Terpulang kepada Mohamad Ridzuan sama ada ingin pulang ke Perlis terlebih dahulu atau meneruskan program latihan yang sudah dirancang jurulatihnya, Cuma pakcik ingin berpesan kepadanya supaya kekalkan prestasi cemerlang seperti ini,” katanya.

Atlet Paralimpik Malaysia menerima sambutan wira ketika tiba di perkarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin. – Bernama
Atlet Paralimpik Malaysia menerima sambutan wira ketika tiba di perkarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin. – Bernama

Berkongsi pandangan sama adalah ibu kepada Abdul Latif Romly, Salmah Yatim, 58, yang sentiasa mendoakan kejayaan anaknya walaupun jarang berjumpa memandangkan atlet berkenaan sibuk menjalani latihan di Kuala Lumpur.

Terdahulu, pesawat EK0346 membawa kontinjen negara selamat tiba di Kompleks Bunga Raya kira-kira pukul 3.14 petang, diberikan penghormatan ‘water salute’ susulan kejayaan cemerlang pada temasya sukan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta isteri Tun Jeanne Abdullah yang juga penaung Majlis Paralimpik Malaysia.

Kontinjen paralimpik mencipta sejarah cemerlang sukan negara apabila meraih tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara olahraga, sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ke-36 dalam pungutan pingat keseluruhan.

Pingat emas pertama dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36, disusuli emas kedua Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20, yang turut mencipta rekod dunia dengan balingan 16.84 meter.

Pingat emas ketiga diraih Abdul Latif dalam acara lompat jauh T20 yang turut mencatat rekod baharu dunia dengan lompatan 7.60m manakala gangsa diraih Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 dengan memperbaharui rekod Para Asia dengan jarak 5.20m. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA