Sami adakan majlis iftar bagi orang Islam Bangladesh

Sami adakan majlis iftar bagi orang Islam Bangladesh

DHAKA, 7 Julai (AFP) – Sebuah biara Buddha di Bangladesh telah menyediakan makanan untuk berbuka puasa bagi orang-orang Islam yang miskin semasa bulan Ramadan ini, dalam contoh luar biasa yang menunjukkan keharmonian sosial antara agama di negara Asia Selatan itu.

Dharmarajika, di bandar Dhaka, menjadi hangat diperkatakan dalam media sosial sejak ia mengagihkan pek makanan harian kepada orang Muslim untuk berbuka berpuasa yang dikenali sebagai Iftar.

Suddhananda Mahathero, ketua sami juga memberitahu AFP, mereka juga memberi makan orang miskin yang tidak mampu untuk membeli makanan yang sesuai bagi hidangan berbuka puasa.

Apabila AFP membuat kunjungan semalam, lebih 300 Muslim menunggu di pagar biara di Basabo Dhaka, untuk menerima beberapa makanan istimewa Iftar.

“Saya dapat makan beberapa sajian istimewa yang dihidang dengan rasa kasih sayang,” kata Amena Khatin, 70, yang menambah bahawa dia sanggup berjalan beberapa kilometer untuk sampai ke sini.

Ketika sami muda mengagihkan tiket kepada orang Muslim, polis turut mengawal untuk memastikan prosesnya tetap teratur.

“Sesungguhnya ini adalah contoh yang sangat baik bagi keharmonian beragama: menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang kepada saudara yang berpuasa tanpa memikirkan perbezaan agama,” kata anggota polis, Asad Uzzaman.

ARTIKEL YANG SAMA