Sami bakar di...

Sami bakar diri bantah Presiden Park

SEOUL, 8 Jan – Seorang sami Korea Selatan beragama Buddha berada dalam keadaan kritikal selepas membakar dirinya ketika bantahan besar-besaran ke atas Presiden Park Geun-Hye, kata pegawai hari ini.

Sami itu, dalam umur 60-an dan namanya tidak didedahkan, membakar dirinya pada lewat malam semalam di tengah Seoul di mana beratus ribu orang kembali di jalan raya bagi minggu ke-11 untuk menuntut penyingkiran Park.

Beliau meninggalkan satu nota menggesa pihak berkuasa supaya menahan presiden kerana melakukan ‘pengkhianatan’, lapor agensi berita Yonhap.

Park didakwa oleh parlimen pada bulan lalu berhubung skandal penyalahgunaan pengaruh yang mencetuskan kemarahan orang awam dan bantahan di seluruh negara, dan Mahkamah Perlembagaan sekarang perlu memutuskan sama ada mengesahkan pendakwaan tersebut.

Sami itu juga mengecam Park sebagai ‘pengkhianat’ kerana memeterai perjanjian dengan Jepun untuk menyelesaikan pampasan untuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seks untuk tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, menurut Yonhap.

Gambar yang diambil lewat 7 Januari menunjukkan seorang sami Buddha yang membakar dirinya telah dibawa masuk ke dalam ambulans di Seoul. – AFP
Gambar yang diambil lewat 7 Januari menunjukkan seorang sami Buddha yang membakar dirinya telah dibawa masuk ke dalam ambulans di Seoul. – AFP

Pengkritik berkata perjanjian 2015 tidak mencukupi untuk menjadikan Jepun bertanggungjawab atas penderaan ketika perang. Ketegangan di antara kedua-dua negara meningkat pada Jumaat apabila Tokyo memanggil pulang dutanya disebabkan patung ‘wanita penghibur’.

Sami itu mengalami luka bakar tahap ketiga di seluruh badannya dan masih tidak sedarkan diri, menurut polis dan kakitangan di Hospital Universiti Nasional Seoul di mana beliau sedang dirawat.

Bunuh diri bukan sesuatu yang tidak pernah didengar sebagai satu cara bantahan di Selatan, dan biasa berlaku ketika gerakan pro-demokrasi pada tahun 1980 dan awal tahun 90-an apabila beberapa aktivis membakar diri mereka ketika tunjuk perasaan awam. – AFP