Sampah domestik tinggi, diseru laksana kitar semula

Sampah domestik tinggi, diseru laksana kitar semula

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Penduduk di Negara Brunei Darussalam menghasilkan jumlah sampah domestik yang tinggi namun begitu mereka harus peka bahawa setiap jenis sampah yang dihasilkan boleh dikitar semula dan mempunyai nilainya tersendiri.

Dalam hubungan itu, masyarakat Brunei harus memahami dan menanamkan dalam diri mereka sikap untuk tidak membazir dan mendidik diri mereka dalam kaedah serta jenis-jenis sampah yang boleh dikitar semula.

Melalui usaha itu, bukan sahaja jumlah sampah yang dihasilkan dan pembaziran dapat dikurangkan tetapi mampu untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar, jelas Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Usaha untuk mengitar semula merupakan salah satu usaha yang giat dilaksanakan dan dipromosikan oleh Kementerian Pembangunan sebagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar bagi masyarakat kerana mereka harus memahami bahawa hampir setiap benda kini boleh dikitar semula, hanya tinggal bagi mereka untuk mendidik diri mereka mengenai jenis-jenis bahan buangan yang boleh dikitar semula.

Yang Berhormat Pehin mengulas perkara ini dalam temu bual bersama Media Permata selepas kegiatan penanaman pokok sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan Green Brunei: Eco Drive yang berlangsung di Pantai Muara, hari ini.

Yang Berhormat Pehin melihat dengan lebih dekat salah satu cabaran yang dilalui oleh peserta Eco-Race 3.0.
Yang Berhormat Pehin melihat dengan lebih dekat salah satu cabaran yang dilalui oleh peserta Eco-Race 3.0.
Yang Berhormat Pehin menyarankan orang ramai lebih peka mengenai kaedah pembuangan sampah yang betul dan untuk mengitar semula bahan buangan.
Yang Berhormat Pehin menyarankan orang ramai lebih peka mengenai kaedah pembuangan sampah yang betul dan untuk mengitar semula bahan buangan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa daripada membuang bahan-bahan buangan itu merata tempat, pihak kementerian mencadangkan supaya orang ramai akan dapat mengitar semula sebahagian benda berkenaan dengan memisahkan dan memasukkan bahan-bahan berkenaan ke dalam tong-tong kitar semula yang disediakan.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menyambut baik usaha pihak persatuan belia seperti Green Brunei dalam membantu menyebarkan mesej memulihara alam sekitar dan inisiatif kitar semula di mana pihak kementerian berharap lebih banyak golongan belia termasuk masyarakat untuk terus menyokong usaha kitar semula.

Mengulas mengenai buku maklumat kitar semula yang dirasmikan baru-baru ini, Yang Berhormat Pehin berkata tidak dinafikan bahawa jumlah sampah khususnya sampah rumah domestik adalah tinggi dan berharap dengan penyediaan maklumat dalam buku panduan kitar semula itu, membolehkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan panduan mengenai cara untuk mengitar semula.

“Mereka harus memahami bahawa hampir kesemua bahan pada masa ini mempunyai nilai, oleh itu, kami mencadangkan kepada mereka mencari kaedah baginya untuk dijadikan sumber tenaga atau bahan-bahan lain.”

Yang Berhormat Pehin menambah orang ramai disarankan untuk tidak hanya membuang bahan-bahan berkenaan merata-rata tempat tetapi mengasingkan dan memasukkannya ke dalam bekas-bekas bahan kitar semula yang bersesuaian.

Mengulas mengenai perancangan masa depan Kementerian Pembangunan dalam kegiatan alam sekitar, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa kementeriannya akan terus melaksanakan kegiatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pemuliharaan alam sekitar di mana Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi terus aktif merangka pelbagai kaedah bagi meningkatkan kesedaran pemuliharaan alam sekitar serta juga untuk meneruskan kegiatan meningkatkan kesedaran di sekolah-sekolah dengan menubuhkan lebih banyak kelab-eko (Eco Club).

ARTIKEL YANG SAMA