Sampai masanya Surau Tg Bunut dinaikkan taraf

Sampai masanya Surau Tg Bunut dinaikkan taraf

SAYA adalah seorang penduduk Kampung Tanjung Bunut dan sejak kebelakangan ini, Kampung Tanjung Bunut telah mengalami pertumbuhan yang pesat dengan pembangunan perumahan (teres dan berkembar) serta bangunan komersial.

Dengan pertambahan penduduk khususnya bagi yang beragama Islam, maka sudah tiba masanya Surau Tanjung Bunut yang dibuka rasmi sekitar tahun 1967 dinaikkan taraf kepada masjid. Dengan demikian maka perlulah sebuah masjid yang baru dan indah dibina.

Kalau saya tidak silap, sekitar tiga tahun yang lalu kerja-kerja membina masjid yang baru di tapak surau yang ada sekarang, telah diadakan.

Bagaimanapun, ia telah terhenti dan hingga sekarang seolah-olah tidak ada lagi apa-apa terjadi atau perkembangan dalam pembinaan masjid baru itu.

Pihak kementerian berkenaan pun tidak ada memberikan sebarang penjelasan kenapa pembinaan masjid baru itu terhenti dan adakah pembinaan masjid baru itu akan diteruskan.

Alhamdulillah, berkat kepimpinan bijaksana dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu Tabung Pembinaan Masjid telah diwujudkan dan kutipannya sudah pun dimulakan.

Maka saya amat berbesar hati apa kiranya agar pembinaan Masjid Tanjung Bunut, mendapat sumbangan permulaan dan kali pertama, menggunakan kewangan dari Tabung Pembinaan Masjid ini.

Saya selaku orang Islam di Kampung Tanjung Bunut dan mungkin jua semua Muslimin di Kampung Tanjung Bunut khasnya bersedia menyumbangkan derma kepada pembinaan masjid ini sebagai amal jariah yang berkekalan di akhirat nanti.

– Al Islam, Kg Tg Bunut

ARTIKEL YANG SAMA