Sampaikan apa makna ASEAN

Sampaikan apa makna ASEAN

KUALA LUMPUR, Malaysia, 8 Sept – Anggota Parlimen ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengetengahkan manfaat yang boleh dinikmati rakyat daripada inisiatif ASEAN yang lebih inklusif dan berpaksikan rakyat di negara masing-masing.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka perlu memanfaatkan hubungan secara langsung dengan pengundi mereka dan juga di parlimen untuk menyampaikan apa makna ASEAN ke arah pembentukan sebuah masyarakat serantau yang padu dari segi politik, mantap di segi ekonomi dan bertanggungjawab dari segi sosial.

Beliau berkata 10 negara anggota ASEAN telah menggubal beratus-ratus perjanjian, triti, kenyataan dan perisytiharan.

“Tetapi instrumen ini akan agak terhad kesannya jika orang ramai langsung tidak mendapat manfaat daripadanya, atau tidak mengetahui tentang kelebihan ketara yang datang daripada kita dengan menjadi ASEAN,” katanya dalam ucaptama selepas merasmikan Perhimpunan Agung ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), yang berlangsung di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur, Malaysia, hari ini.

Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib mewakili Negara Brunei Darussalam ke perhimpunan berkenaan dengan tema “Engaging a People-Oriented, People-Centred ASEAN Community Towards Inclusiveness” bersama 14 ahli Majlis Mesyuarat Negara, jurutulis serta para pegawai Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat Negara.

Ahli Parlimen yang menyertai AIPA di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur, Malaysia, semalam.
Ahli Parlimen yang menyertai AIPA di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur, Malaysia, semalam.

Semasa menyampaikan ucapan di perhimpunan itu, Yang Berhormat Pehin antara lain dipetik sebagai berkata, ASEAN sedang mengambil langkah untuk terus mengatur platform mesyuarat terutamanya di antara ASEAN dan AIPA, yang mana beliau menyatakan harapan agar kedua-dua sekretariat akan terus membina hubungan melalui aktiviti bersama dan mekanisme yang membangun dan berkesan.

Ini, menurut Yang Berhormat Pehin, penting untuk menyokong pelaksanaan dasar dan perjanjian serta akan menyokong kesepaduan dalam proses membuat keputusan di antara kedua-dua sekretariat.

Perhimpunan agung ini akan bersidang di peringkat ahli jawatankuasa politik, ekonomi, sosial dan organisasi serta seterusnya akan berdialog dengan negara-negara anggota daripada sembilan buah negara di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA