Sampdoria pecat jurulatih

Sampdoria pecat jurulatih

MILAN, 11 Nov (AFP) – Kelab Serie A Itali, Sampdoria hari ini mengumumkan kelab itu memecat jurulatihnya, Walter Zenga dengan khabar angin bekas jurulatih Fiorentina, Vincenzo Montella akan menggantikan tempatnya.

Sampdoria kini terperosok ke tangga ke-10 liga Itali yang ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Fiorentina.

Terbaharu, Sampdoria kalah 2-0 di gelanggang sendiri di Stadium Luigi Ferraris kepada La Viola, Ahad lalu.

Ia adalah kekalahan pertama Sampdoria di gelanggang sendiri musim ini dengan penonton menuntut agar Zenga disingkirkan sebaik wisel penamat dan tuntutan itu dipenuhi presiden kelab itu, Massimo Ferrero hari ini.

Zenga telah dipecat sebagai jurulatih Sampdoria. – Reuters
Zenga telah dipecat sebagai jurulatih Sampdoria. – Reuters

Dalam satu kenyataan kelab itu berkata: “Sampdoria ingin mengumumkan bahawa Walter Zenga sudahpun dikeluarkan dari tugasnya sebagai jurulatih pasukan utama.

“Presiden kelab, Massimo Ferrero dan seluruh kelab ini kecewa hubungan ini berakhir di sini dan berharap masa depan Walter Zenga terus cerah.”

Pemecatan Zenga adalah yang kedua minggu ini membabitkan kelab Serie A selepas Palermo mengumumkan Giuseppe Iachini disingkirkan dan tempatnya digantikan oleh Davide Ballardini.