Samseng dikehendaki pernah sembunyi di M’sia

Samseng dikehendaki pernah sembunyi di M’sia

NEW DELHI, 27 Okt (Bernama) – Chota Rajan, antara penjenayah paling dikehendaki di India kerana mempunyai kaitan dengan siri pembunuhan berprofil tinggi, yang diberkas di Bali, Indonesia pada Ahad, pernah melarikan diri ke Malaysia bagi mengelak dikesan Interpol.

Ketua samseng itu juga, yang nama sebenarnya Rajendra Sadashiv Nikalje, sering melakukan perjalanan ke dua negara Asia Tenggara lain dan Australia sejak tahun 2000.

Menurut media India, pada 1993, Chota Rajan bertelagah dengan mentornya, Dawood Ibrahim – yang terkenal dengan gelaran ‘Godfather of the Indian Underworld’ dan kini bersembunyi di Timur Tengah – berikutan siri letupan bom di Mumbai pada tahun sama.

Hindustan Times melaporkan bahawa Chota Rajan, 55, pada mulanya melarikan diri ke Dubai dan setahun kemudian, ke Kuala Lumpur sebelum menetap di Bangkok bersama-sama bekas anggota utama kumpulan Dawood.

Menurut akhbar harian itu, pembunuhan dan pembunuhan balas antara kumpulan Chota Rajan serta Dawood turut mengorbankan beberapa orang ternama, termasuk bekas peneraju East-West Airlines, Taquiddin Waheed pada 1995.

Ketua polis jenayah Denpasar, Indonesia, Reinhard Habonaran Nainggolan menunjukkan kepada media gambar Rahendra Sadashiv Nikalje di balai polis Denpasar di pulau Bali pada 27 Oktober. – AFP
Ketua polis jenayah Denpasar, Indonesia, Reinhard Habonaran Nainggolan menunjukkan kepada media gambar Rahendra Sadashiv Nikalje di balai polis Denpasar di pulau Bali pada 27 Oktober. – AFP

Tokoh lain ialah pemimpin Shiv Sena Mohammad Salim Badgujar, yang dibunuh pada Mac 1998 dan bekas menteri Nepal, Mirza Dilshad Beg, yang menjadi mangsa pembunuhan pada Jun 1998.

Sementara itu, Times of India melaporkan, selepas menubuhkan kumpulan sendiri, Chota Rajan meluaskan wilayah operasinya ke Bangkok, Thailand; dan Malaysia.

Ketua samseng ini dan anak buahnya didakwa terlibat dengan kegiatan menyeludup senjata api dan dadah dari pangkalan mereka di luar negara ke Mumbai.

Malah, dia juga disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Tamil Sri Lanka, yang kemudiannya berkubur, bagi mendapatkan bekalan senjata api untuk pertubuhan pengganas itu.

Chota Rajan diberkas polis Indonesia pada pagi Ahad apabila dia tiba dari Sydney hasil maklumat Biro Siasatan Pusat (CBI) India.

Dalam perkembangan berkaitan, saluran berita New Delhi TV melaporkan penjenayah itu sering berulang-alik antara Australia, Malaysia dan Kemboja sejak tahun 2000, sebelum anak buah Dawood mengesannya di sebuah hotel dan cuba membunuhnya.

Bagaimanapun, samseng yang cedera akibat ditembak itu, berjaya melarikan diri melalui bumbung hotel berkenaan.

Selepas kejadian itu, penjenayah berkenaan dilaporkan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Semalam, pengarah CBI Anil Sinha mengesahkan penangkapan Chota Rajan oleh polis Indonesia atas permintaan pihak berkuasa India.

Menurut polis Mumbai, Chota Rajan dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan sekitar 15 pembunuhan dan menjadi orang buruan sejak 1993.

ARTIKEL YANG SAMA