Samsung Electronics yakin catat pertumbuhan jualan kukuh

Samsung Electronics yakin catat pertumbuhan jualan kukuh

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) – Samsung Electronics Co Ltd menjangkakan tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dalam jualan telefon pintar serta tablet di Malaysia.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan IT dan Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd, Lee Jui Siang berkata, inovasi produk dan harga yang berpatutan akan melonjakkan jualan.

“Keadaan ekonomi semasa tidak akan menghalang kami untuk terus membangunkan telefon pintar terbaik dan kami percaya bahawa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak tahun lepas tidak akan menjejaskan jualan kami.

“Kami juga menjangkakan jualan peranti dan produk Samsung yang lain akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Samsung Galaxy S7 Edge, kelmarin.

Berdasarkan jualan pra-tempahan dan tindak balas daripada pasaran, beliau yakin telefon pintar baharu itu akan mendapat sambutan.

Telefon bimbit baharu itu telah mula dijual di pasaran Malaysia pada harga runcit RM3,099, termasuk GST. Galaxy S7 Edge datang dalam tiga pilihan warna – onyx hitam, perak titanium dan emas platinum.

Telefon pintar Samsung hari ini merupakan peneraju pasaran di seluruh dunia dan mempunyai kedudukan yang kukuh di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA