Samsung henti jualan dan pertukaran Galaxy Note 7

Samsung henti jualan dan pertukaran Galaxy Note 7

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – DSTIncomm selaku pengedar sah bagi peranti-peranti mudah alih Samsung telah memaklumkan keputusan Samsung untuk menghentikan jualan dan pertukaran bagi Galaxy Note 7 disebabkan isu-isu keselamatan.

Kenyataan rasmi Samsung yang dipetik oleh DST, menyatakan bahawa Samsung sedang bekerjasama dengan badan-badan pengawal atur untuk menyiasat kes-kes yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan Galaxy Note7.

“Kerana keselamatan pelanggan tetap keutamaan kami, Samsung akan meminta pembekal dan rakan-rakan runcit global untuk menghentikan jualan dan pertukaran Galaxy Note7 sementara siasatan dijalankan,” DST memetik kenyataan rasmi Samsung itu dalam kenyataan yang dikeluarkannya di sini, hari ini.

Samsung seterusnya menegaskan komitmennya untuk bekerja keras dengan pihak-pihak pengawal atur bagi mengambil semua langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Pelanggan yang mempunyai, sama ada Galaxy Note7 asal atau Galaxy Note7 ganti patut menutup dan berhenti menggunakan peranti mereka dan menggunakan penyelesaian yang ada,” menurut Samsung lagi.

Manakala itu, kenyataan DST turut menyatakan bahawa DSTIncomm pada ini sedang menunggu maklumat daripada Samsung bagi tindakan lanjut dan akan mengongsi maklumat itu bersama pelanggan sebaik sahaja menerimanya.

DSTIncomm turut memaklumkan pelanggan bahawa mereka menawarkan Samsung J1 Ace sebagai peranti alternatif sebagai pinjaman sementara menanti tindakan lanjut Samsung.

Pelanggan terjejas yang memerlukan bantuan lanjut mengenai perkara ini boleh menghubungi DSTIncomm di talian 8859898 semasa waktu pejabat.

ARTIKEL YANG SAMA