Samsung henti penjualan Note 7

Samsung henti penjualan Note 7

SEOUL, 11 Okt – Samsung pada hari ini menghentikan penjualan dan tukaran telefon pintar Galaxy Note 7 di seluruh dunia dan memberitahu pelanggan supaya berhenti menggunakan peranti itu, ekoran laporan mengatakan pengganti model juga terbakar.

Usaha terbaru untuk membendung krisis keselamatan yang mengancam akan menjejas jenama global kuasa besar itu diambil tatkala pengawal pengguna AS persekutuan mengeluarkan satu amaran membimbangkan tentang kemungkinan risiko yang ditimbulkan kepada pemilik Note 7, keluarga dan rumah mereka.

Berita tersebut menjejaskan harga saham Samsung, yang ditutup merosot 8.0 peratus pada 1.54 juta won, ekoran satu kemerosotan 1.5 peratus pada hari sebelumnya.

Pengumuman pada hari ini keluar sebulan selepas pengeluar telefon pintar terbesar dunia itu mengumumkan penarikan balik 2.5 juta Note 7 di 10 pasaran ekoran aduan mengatakan bateri litiumion meletup ketika mengecas.

Tindakan itu telah berubah menjadi satu krisis perhubungan awam untuk syarikat, yang berbangga dengan pembaharuan dan kualiti, dan situasi berkenaan hanya bertambah buruk apabila laporan mengenai telefon ganti juga terbakar timbul seminggu lalu.

Pemandangan menyeluruh yang menunjukkan bangunan apartmen Samsung di antara barisan pencakar langit yang menghiasi bandar Seoul pada 11 Oktober. – AFP
Pemandangan menyeluruh yang menunjukkan bangunan apartmen Samsung di antara barisan pencakar langit yang menghiasi bandar Seoul pada 11 Oktober. – AFP

“Jika ia berlaku sekali, ia boleh dianggap sebagai satu kesilapan. Namun untuk Samsung, perkara yang sama berlaku dua kali dengan model yang sama, maka akan timbulnya kehilangan kepercayaan daripada pengguna,” kata Greg Roh di Sekuriti Pelaburan HMC.

“Sebab pengguna memilih jenama seperti Samsung dan Apple adalah kerana kebolehpercayaan produk, maka dalam kes ini, kerosakan jenama tidak dapat dielakkan dan ia akan menelan kos yang tinggi untuk Samsung berpulih,” kata Roh.

Kenyataan Samsung pada hari ini merupakan pengiktirafan formal pertama mengenai isu keselamatan dengan telefon ganti Note 7 dan keluar sehari selepas ia mengakui ia sedang mengurangkan pengeluaran telefon pintar.

“Disebabkan keselamatan pengguna masih menjadi keutamaan kami, Samsung akan meminta semua rakan runcit dan pengangkut kami supaya menghentikan penjualan dan tukaran Galaxy Note 7 sementara siasatan dilancarkan,” kata kenyataan. – AFP